PETALING JAYA : Mesyuarat Kabinet yang sepatutnya berlangsung hari ini atau setiap Rabu dibatalkan setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dimasukkan ke hospital kerana mengalami diarea.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba kepada Utusan Online.
“Hari ini mesyuarat Kabinet batal,” katanya ringkas.
Terdahulu, Dr. Adham diminta mengulas sama ada Jemaah Menteri ada membincangkan berkenaan nasib 23,000 doktor kontrak bagi mencari penyelesaian tuntas terhadap kemelut yang berlaku selama ini.
Sebelum itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Muhyiddin mengalami diarea sejak semalam, sehubungan itu beliau telah didaftar masuk ke sebuah hospital di ibu negara pagi ini untuk menerima rawatan dan pemantauan.
Utusan Malaysia sejak minggu lalu membangkitkan pelbagai persoalan termasuk pihak yang perlu bertanggungjawab untuk melantik dan menyerapkan pegawai perubatan kontrak sebagai kakitangan kerajaan berstatus tetap selepas pelbagai pihak menunding jari sehingga tiada kata putus mengenai isu tersebut.
Hal ini ekoran doktor-doktor kontrak di seluruh negera berhasrat mengadakan mogok yang dijadualkan pada 26 Julai ini bagi memastikan suara mereka didengar dan nasib terus dibela kerajaan. – UTUSAN ONLINE