KAHERAH: Sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang membawa 12 aktivis termasuk Greta Thunberg dari Sweden, kini berada berhampiran pesisir Mesir dan dijangka tiba di perairan Gaza menjelang pagi Isnin, menurut penganjur konvoi berkenaan.
Kapal Madleen yang merupakan sebahagian daripada Freedom Flotilla Coalition berlayar dari Sicily minggu lalu, membawa muatan bantuan kemanusiaan dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.
“Kami kini berada di perairan pesisir Mesir. Semua kru berada dalam keadaan baik,” kata aktivis hak asasi manusia dari Jerman, Yasemin Acar kepada AFP.
Acar menjelaskan, Madleen kini berada berhampiran pesisir Alexandria dan dijangka sampai ke perairan Gaza pada malam Ahad atau awal pagi Isnin.
“Kami kini kira-kira 288 batu nautika dari Gaza dan jika semuanya berjalan lancar, kami akan menghampiri perairan wilayah Gaza menjelang malam Ahad,” katanya.
Namun begitu, kru kapal melaporkan beberapa kejadian kehadiran dron tidak dikenali di sepanjang pelayaran.
Menurut satu video yang dikongsi oleh pertubuhan tersebut di media sosial, sebuah dron jenis Heron milik Pengawal Pantai Hellenic (Greece) terbang di atas kapal Madleen pada Selasa malam.
Beberapa jam kemudian, dua lagi dron yang dipercayai dikendalikan oleh agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), Frontex, turut menghampiri kapal tersebut.
Satu lagi dron dikesan pada awal pagi Khamis.
Para aktivis menyatakan kru kapal masih berada dalam keadaan selamat, tetapi percaya pemantauan melalui dron itu adalah cubaan untuk mengugut dan mengintimidasi mereka.
“Kami sedar sepenuhnya tentang risiko misi ini. Jika Israel menyerang kami, itu adalah satu lagi jenayah perang. Kami tidak akan menjalankan misi ini jika kami tidak yakin bahawa kami boleh sampai ke Gaza,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Madleen berlayar di bawah bendera United Kingdom dan kini menghampiri perairan Gaza yang beliau sifatkan sebagai ‘ditawan’ oleh Israel.
Turut berada di atas kapal ialah warganegara dari Jerman, Perancis, Brazil, Turki, Sweden, Sepanyol dan Belanda.
Di London, International Committee for Breaking the Siege of Gaza, salah satu organisasi dalam gabungan flotilla tersebut menyatakan bahawa mereka masih berhubung dengan badan undang-undang dan hak asasi antarabangsa bagi menjamin keselamatan semua aktivis atas kapal.
Mereka memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk menghalang kapal itu adalah pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Ahli Parlimen Eropah, Rima Hassan, yang turut berada di atas kapal menggesa kerajaan agar menjamin laluan selamat untuk Freedom Flotilla.
Beliau berkata, lebih 200 ahli parlimen Eropah enandatangani surat terbuka kepada Israel menuntut agar Madleen dibenarkan tiba di Gaza dan kargo kemanusiaannya dibenarkan masuk dengan segera.- AFP










