Bintang TikTok popular ditahan imigresen AS

Bintang TikTok popular ditahan imigresen AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Bintang TikTok paling ramai pengikut di dunia, Khaby Lame ditahan oleh ejen imigresen Amerika Syarikat (AS) selepas didakwa melanggar syarat visa sebelum dibenarkan meninggalkan negara itu secara sukarela, menurut kenyataan pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Imigresen dan Kastam AS (ICE) memaklumkan, Lame atau nama sebenarnya, Seringe Khabane Lame, 25, ditahan pada 6 Jun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid di Las Vegas, Nevada kerana kesalahan imigresen.

“Lame, warganegara Itali memasuki AS pada 30 April lalu dan ditahan kerana sudah melebihi tempoh sah visanya. Namun, beliau dibebaskan pada hari yang sama dan diarah meninggalkan AS,” katanya.

Lame, yang juga Duta Muhibah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) enggan mengulas secara terbuka mengenai insiden tersebut.

Insiden itu berlaku berikutan penguatkuasaan ketat dasar imigresen Presiden AS, Donald Trump termasuk usaha mengusir pendatang secara besar-besaran yang mencetus cabaran undang-undang di mahkamah AS.

Lame memegang kedudukan teratas TikTok dengan lebih 162.2 juta pengikut dan dikenali kerana video-video pendeknya yang membidas tutorial rumit di internet hanya dengan ekspresi muka, isyarat tangan dan senyuman sinis yang menjadi identitinya.

Idea untuk kandungannya tercetus ketika beliau menganggur selepas diberhentikan kerja sebagai mekanik kilang pada Mac 2020 dan sering berjalan di sekitar kawasan perumahan di Chivasso, berhampiran Turin, Itali.

Populariti mendadak beliau membuka peluang kerjasama komersial besar dengan anggaran pendapatan sekitar AS$16.5 juta (RM69.7 juta) antara Jun 2022 hingga September 2023 melalui pelbagai kempen pemasaran, menurut laporan Forbes. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN