Menyamar polis sasar rumah bujang untuk peras ugut, rompak  - Utusan Malaysia

Menyamar polis sasar rumah bujang untuk peras ugut, rompak 

KENDERAAN jenis Perodua Bezza berwarna biru yang digunakan tiga lelaki untuk melakukan peras ugut dan merompak dengan menyamar sebagai anggota polis di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai sering menyamar sebagai anggota polis dan menyasarkan rumah diduduki penghuni bujang untuk melakukan peras ugut serta merompak. 

Kesemua suspek berusia antara 28 tahun hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam, di sini semalam.

Mereka ditahan menerusi Op Cantas oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) kira-kira pukul 5.30 petang. 

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian rompakan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam, kira-kira pukul 6.20 pagi kelmarin. 

Katanya, suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru menghampiri dua lelaki yang sedang menunggu rakan mereka di hadapan sebuah rumah dan memperkenalkan diri sebagai polis. 

“Suspek kemudian menyuruh mereka masuk ke dalam rumah dan mengarahkan enam penghuni lain masuk ke dalam satu bilik di tingkat atas sebelum melarikan tujuh unit telefon bimbit milik mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Menurut Noorzainy, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek yang positif dadah jenis syabu itu mengaku terlibat dalam jenayah tersebut. 

Jelasnya, siasatan turut mendapati suspek berusia 34 tahun memiliki 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala dua suspek berusia 28 tahun masing-masing memiliki enam serta empat rekod jenayah lampau. 

“Polis merampas pelbagai barangan seperti beberapa unit telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Bezza serta plastik yang tertera logo dan tulisan ‘Polis Diraja Malaysia’,” katanya. 

Beliau meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa  tampil membuat laporan polis kerana suspek sering memperdaya mangsa kononnya untuk membuat tangkapan khalwat dengan menyasarkan rumah yang didiami individu bujang. 

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN