Namaste! Entah bila kali terakhir penulis menonton sebuah filem Hindustan yang penuh dengan nilai inspirasi. Ada pun filem yang ditonton, sarat dengan emosi sambil mengesat air mata.
Permulaan filem Skater Girl pada setengah jam pertama sedikit membuai mata. Entah di mana kurangnya, tetapi apa yang berlaku selepas itu membuatkan penulis terluncur sehingga ke penghabisan cerita.
Filem berkisarkan seorang remaja, Prerna, yang tinggal di luar bandar India di sebuah perkampungan Khempur, Rajasthan. Dia menemui sebuah erti kebebasan yang mana kehidupannya sebelum ini kosong, bertukar gembira dengan bermain papan luncur.
Perasaan teruja dan gembira itu tidak wujud kalau bukan kerana Jessica. Seorang wanita bekerjaya dari kota London. Asalnya dia hanya ingin meninjau tempat kelahiran bapa dan nenek moyangnya.
Tapi persinggahan Jessica akhirnya membawa dia ke satu tahap yang lebih serius. Mahu mewujudkan taman permainan papan luncur semata-mata untuk merealisasikan impian Prerna.
Pelbagai konflik dilalui mereka berdua. Sementelah Prerna bakal disatukan dengan lelaki pilihan keluarga, Jessica pula menerima tentangan hebat daripada penduduk kampung.

Persoalannya, masihkah wujud impian Prerna di kala sari kahwin sudah disarung? Anggap saja Netflix bagaikan papan luncur. Nah tinggal anda saja yang meluncur untuk menyingkap kesudahan filem arahan Manjari Makijany itu.
Bagi penulis, eksplorasi minat remaja menerusi sukan bukanlah satu perkara baharu. Namun, Skater Girl berjaya membuatkan kadar adrenalin penulis turun naik.
Selain itu, penceritaan membabitkan kasta dalam kalangan mereka bagi penulis ia bagaikan sudah lapuk dek ditelan zaman.
Biarpun objektif pengarah atau penulis ingin merakamkan sukan itu menyatukan semua orang tanpa melihat latar belakang, mungkin boleh diketepikan sahaja. Perahkan saja otak sekumpulan untuk mencari perspektif positif tanpa perlu membezakan golongan.

Menyentuh bab lakonan, barisan bintang utama Prerna (Rachel Saanchita Gupta), Jessica (Amy Maghera) benar-benar memberi penuh penghayatan. Tidak dilupakan juga adik Prerna, Ankush (Shafin Patel), lakonannya bersahaja. Layak dinobatkan sebagai pelakon filem kanak-kanak terbaik.
“Jika impian dimatikan, mungkin kehidupan masih diteruskan seperti biasa. Tapi jika impian diteruskan, mungkin membawa perubahan baharu dalam kehidupan,” memetik kata Maharani lakonan Waheeda Rehman ketika bertemu empat mata dengan Jessica.
Mengakhiri pena, penulis berharap pembaca dan penggemar filem tidak mengkastakan penulis dengan ulasan yang diberikan. Ini hanya pandangan peribadi berdasarkan pengamatan menonton filem berkenaan.










