MBNP seru Tasik Chini dipelihara dan dipulihara - Utusan Malaysia

MBNP seru Tasik Chini dipelihara dan dipulihara

MOHD. IZZAT AFIFI ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menyeru kerajaan negeri mengambil segala langkah yang perlu untuk mengembalikan semula kegemilangan Tasik Chini sebagai salah satu kawasan pelancongan dan legenda ternama di negeri ini. 

Menerusi usaha itu, ia sekali gus memberikan sumber pendapatan kepada rakyat tempatan, khususnya masyarakat orang asli di Tasik Chini.

Presiden MBNP, Mohd. Izzat Afifi Abd. Hamid berkata, dengan status sebagai tapak Rizab Biosfera (RB) UNESCO, Taman Negeri Tasik Chini seharusnya diangkat sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa setaraf dengan pengiktirafannya.

“Selaku pergerakan yang mewakili suara anak muda, MBNP sedia bersama kerajaan negeri dalam usaha menjaga kelestarian Tasik Chini dan tempat-tempat lain untuk generasi akan datang dan kebaikan kita bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Izzat Afifi berkata, sejak kebelakangan ini, banyak isu yang tular di media sosial berkaitan dengan Tasik Chini rosak akibat aktiviti perlombongan.

“Ramai pihak di luar sana mengecam kerajaan negeri atas kerosakan Tasik Chini ini. Seperti mana yang kita tahu, aktiviti perlombongan bukan perkara baru dan aktiviti ini sudah sekian lama sejak dari dahulu lagi.

“Sejarah-sejarah lama sudah banyak membuktikan bahawa aktiviti perlombongan ini menjadi salah satu keperluan untuk membangunkan sesebuah tempat. Ini kerana di bumi Pahang memang kaya dengan hasil bumi dan sumber mineral.

“Namun begitu, hasil bumi dan sumber mineral perlu diurus dengan baik agar tidak menjejaskan alam sekitar. Sumber-sumber ini juga penting bagi pembangunan rakyat Malaysia khususnya di negeri Pahang bagi meningkatkan kemudahan dan infrastruktur selain dapat menjaga kebajikan rakyat serta pembangunan belia,” katanya. 

Oleh itu, katanya, MBNP menggesa kerajaan negeri bertegas kepada semua pelombong untuk mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard ditetapkan (SOP) supaya dapat menjaga dan melindungi ekosistem, flora dan fauna serta keadaan masyarakat setempat supaya tidak terganggu aktiviti seharian dan sumber ekonomi mereka. 

“MBNP juga percaya komitmen kerajaan negeri untuk mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini dan tiada kelulusan baru untuk operasi perlombongan seperti diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2020. 

“Ia adalah manifestasi keprihatinan serta kepedulian kerajaan negeri kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya