KEPALA BATAS: Perintah larangan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ yang bermula hari ini seolah-olah tidak memberi sebarang makna kepada sebahagian rakyat apabila masih ada yang berdegil dengan cuba merentas negeri tanpa alasan munasabah.
Perkara itu terbukti apabila hampir 100 kenderaan dari Sungai Petani, Kedah diarah berpatah balik ketika cuba merentas memasuki negeri ini tanpa surat kebenaran.
Lebih menyedihkan apabila kebanyakan mereka ketika ditahan dalam operasi di Kepala Batas memberikan alasan remeh dan tidak masuk akal antaranya mahu membeli barang di pasar raya selain ada yang semata-mata mahu menikmati nasi kandar.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, alasan itu diberikan pengguna jalan raya berkenaan ketika ditahan di beberapa sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan pihaknya termasuk di lorong-lorong tikus sehingga pukul 4 petang tadi.
“Ada yang datang ke negeri ini semata-mata mahu membeli-belah barangan keperluan kerana mendakwa terdapat beberapa pasar raya besar di sini sedangkan di Sungai Petani pun ada pasar raya.
“Kita juga menerima alasan remeh mereka yang datang dari Sungai Petani, Kedah untuk membeli sarapan kerana nasi kandar di Pulau Pinang lebih sedap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba merentas negeri dan daerah tanpa alasan dibenarkan lebih-lebih lagi sepanjang pelaksanaan ‘total lockdown’ bermula hari ini hingga 14 Jun ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya memberi kerjasama dengan berada di rumah masing-masing serta tidak melakukan cubaan merentas negeri dan daerah tanpa alasan munasabah.
“Kita akan bertindak tegas sekiranya masih ada yang berdegil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP penuh ini kerana boleh menjejaskan usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.










