Maritim Malaysia tahan empat bot nelayan Vietnam - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tahan empat bot nelayan Vietnam

ANTARA empat bot nelayan Vietnam yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Jeti Maritim Malaysia Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat bot nelayan Vietnam bersama 46 kru termasuk tekong yang menceroboh perairan negara, kelmarin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot itu ditahan kapal peronda KM Nusa di kedudukan 77 hingga 78 batu nautika dari Kuala Terengganu, antara pukul 4 hingga 6 pagi.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati bot nelayan Vietnam itu sudah berada di perairan negara lebih sebulan.

“Ketika ditahan kesemua kru berusia antara 15 hingga 62 tahun itu leka menangkap ikan dan pemeriksaan mendapati mereka tiada dokumen pengenalan diri sah.

“Kita turut merampas hasil laut seberat 14 tan termasuk ikan campur, ikan baja dan sotong di samping 4,000 liter diesel serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan berjumlah RM6 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, keempat-empat bot berkenaan bersama kru kemudian dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

Sementara itu, katanya, sebanyak 103 bot nelayan asing ditahan melibatkan jumlah rampasan keseluruhan RM154.5 juta sepanjang Op Kuda Laut di Pantai Timur sejak 25 Jun lalu.

Katanya, Maritim Malaysia giat mengawal perairan negara mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN