Manfaatkan potensi pangkalan data pelanggan - Utusan Malaysia

Manfaatkan potensi pangkalan data pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CABARAN dalam menempuh krisis pandemik yang terus berlanjutan sehingga ke hari ini sememangnya memberikan implikasi yang sangat besar kepada masyarakat. Begitu juga dari perspektif ekonomi yang merangkumi pelbagai sektor perniagaan dan industri, perusahaan kecil dan sederhana sehinggalah peniaga mikro. Keupayaan untuk terus berdaya saing amat bergantung kepada kekuatan sumber dalaman perniagaan, sokongan pelanggan serta kreativiti dalam menggalakkan penglibatan pasaran yang berterusan.

Antara inisiatif dalam usaha untuk terus memperkukuh prospek perniagaan adalah dengan memanfaatkan kelebihan pangkalan data pelanggan. Ia merupakan sistem simpanan data tersusun yang menghimpunkan maklumat berkaitan pelanggan untuk sesebuah organisasi perniagaan. Ia pada kebiasaannya merangkumi senarai maklumat perhubungan bagi tujuan komunikasi dan penyampaian informasi kepada pelanggan secara terus, sehinggalah data yang lebih terperinci untuk menyokong strategi pemasaran dan promosi dengan lebih berkesan.    

Namun pada realitinya, tidak semua perniagaan sebenarnya memiliki pangkalan data pelanggan, terutama bagi yang terlibat dalam sektor perniagaan kecil dan mikro. Sungguhpun begitu, tetap ada yang mampu terus bertahan berdasarkan kredibiliti yang baik dalam kalangan pelanggan setia sedia ada. Walaupun tidak mempunyai data pelanggan yang tersusun, golongan peniaga seperti ini mempunyai potensi perniagaan yang sangat baik. Ibarat kata “tidak buka kedai pun, pelanggan tetap mencari atas kepercayaan dan hubungan berdasarkan produk serta khidmat yang memuaskan”.

Bagi sebahagian perniagaan yang masih tidak mempunyai pangkalan data pelanggan tetapi mampu terus bertahan menempuh krisis pandemik ini antaranya adalah disebabkan kredibiliti perniagaan yang telah mereka bina bertahun-tahun sebelum itu yang berjaya mencapai tahap kepuasan pelanggan yang baik. Secara tidak langsung, mereka telah berjaya membina circle kepercayaan yang kukuh dalam kalangan para pelanggan setia tanpa mereka disedari.

Jika diteliti dari perspektif yang lain, tidak kurang juga perniagaan yang sudah pun mempunyai pangkalan data pelanggan lengkap tetapi masih terus bertarung dalam memperkukuh prospek dan pelanggan, malah tidak kurang juga yang terpaksa gulung tikar dalam menghadapi cabaran krisis pandemik ini. Oleh itu, terdapat pelbagai lagi faktor yang mampu menyumbang kepada cabaran perniagaan untuk terus berdaya maju dari sekadar memiliki pangkalan data pelanggan. 

Namun atas semua perkara tersebut, membina pangkalan data pelanggan tetap menjadi kepentingan untuk setiap perniagaan. Apa yang lebih diperlukan adalah bagaimana seseorang peniaga, usahawan atau sesebuah organisasi itu dapat memanfaatkan pangkalan maklumat yang dimiliki sebagai aset yang dapat menjana perolehan memberangsangkan kepada perniagaan. Memanfaatkan pangkalan data pelanggan berdasarkan kesesuaian perniagaan sebenarnya amat membantu dalam membuka lebih banyak peluang dan potensi dalam memperkukuh lagi prospek pasaran yang lebih mampan.  

Pangkalan data pelanggan dapat dijadikan sebagai sumber landasan dalam menjaga perhubungan pelanggan di samping memahami aspirasi pilihan mereka untuk pengukuhan jangka panjang produk dan perkhidmatan serta kredibiliti penjenamaan. Mampu melaksanakan strategi yang tepat berdasarkan data segmentasi pelanggan merangkumi lokaliti, demografi dan seumpamanya turut menyokong perniagaan untuk melangkah lebih jauh. 

Malah dengan lebih memahami selera pelanggan berdasarkan pilihan peribadi, minat dan gaya hidup mereka adalah aset yang sangat berharga kepada setiap entiti perniagaan. Maklumat tersebut mampu menyokong elemen komunikasi yang lebih berkesan kepada penerimaan pelanggan dan prospek pasaran. 

Justeru itu, terdapat pelbagai kaedah dalam membina pangkalan data pelanggan yang akan turut dikongsikan pada Perspektif akan datang sebagai panduan para peniaga memperkukuh potensi pasaran. Manfaatkan pangkalan data pelanggan sebaiknya kerana ia juga merupakan landasan dalam mendepani cabaran krisis pandemik dan persaingan era digital kini.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN