Makan bubur, kutip pucuk apa-apa tumbuhan tepi jalan untuk alas perut - Utusan Malaysia

Makan bubur, kutip pucuk apa-apa tumbuhan tepi jalan untuk alas perut

R. SUGANTHI (kiri) dan anaknya, S. Kyiran menceritakan kesusahan hidup yang mereka lalui sehingga putus bekalan makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kesempitan hidup menyebabkan dua beranak yang tinggal di sebuah flat di sini terpaksa mengutip pucuk atau sayur-sayuran di tepi jalan bagi mengalas perut akibat kehabisan bekalan makanan.

R. Suganthi, 53, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan terpaksa berhenti kerja sejak dua tahun lalu disebabkan masalah kencing manis dan tulang rawan tergelincir atau slip disc.

Menurut Suganthi, dia dan anak perempuannya, S. Kyiran, 33, yang hilang ingatan disebabkan kemalangan kini menumpang di rumah ibu rakannya sejak Januari lalu.

Katanya, disebabkan tiada sumber pendapatan, mereka terpaksa mencatu makanan dengan makan bubur nasi, biskut kering dan kopi o.

“Kami hanya makan sekali saja sehari, itu pun buat bubur nasi dengan beras yang diberi rakan dan jika lapar pada waktu malam, kami alas perut dengan minum kopi o.

“Pernah juga saya mengutip apa-apa tumbuhan yang boleh dimakan di tepi jalan untuk dijadikan lauk,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Suganthi berkata, sebagai ibu dia sedih sekiranya tidak mampu menyediakan makanan untuk anaknya yang juga menghidap masalah tulang belakang.

“Saya tidak makan pun tidak mengapa, asalkan perut anak terisi. Sepanjang dua minggu terputus bekalan makanan, kami hanya makan apa yang ada.

“Sebab itu, saya mohon bantuan. Saya harap ada pihak sudi membantu dan sekiranya boleh, saya juga ingin bekerja kembali bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Tambahnya, dia dan anaknya juga kini hanya mengambil ubat tahan sakit disebabkan tidak mampu mendapatkan rawatan di klinik dan hospital.

“Kami juga berharap untuk mendapat bantuan rumah kerana tidak tahu berapa lama lagi boleh menumpang di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya