PETALING JAYA: Majoriti ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) masih berpegang teguh dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO iaitu meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Bercakap kepada Utusan Online, Pengerusi Ahli Majlis Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya tidak akan menerima keputusan parti jika bertindak sebaliknya selepas tempoh 14 hari menggesa Parlimen dibuka.
“Majoriti ahli Parlimen BN masih berpegang teguh dengan keputusan parti pada Perhimpunan Agung UMNO untuk menyokong kerajaan sampai PRU. Parlimen dibubarkan ‘No’ Anwar ‘No’ DAP.
“Kami bersetuju Parlimen disegerakan tapi ikut notis. Notis adalah 28 hari, bukan 14 hari. Itu sebenarnya tidak tepat,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Shahidan, teguran kepada kerajaan itu seharusnya dibuat atas dasar kebersamaan dalam kerajaan, bukan bertindak sebagai pembangkang.
“Kalau kerajaan ini tidak berguna, UMNO majoriti dalam kerajaan. Macam mana kerajaan tidak berguna sedangkan ahli UMNO ramai di dalamnya?
“Jadi saya nasihatkan semua pihak bila tegur kerajaan, tegur atas dasar bersama dalam kerajaan. Kalau nak tegur secara terbuka, itu tidak tepat. Kalau nak bagi pandangan pun, biarlah pandangan yang betul,” ujarnya lagi.
Semalam, Presiden UMNO. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpendirian tegas mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.
Jelas Zahid, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah.
“Tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, katanya, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE