PETALING JAYA: Remaja orang kurang upaya (OKU) didakwa diculik diselamatkan seorang lelaki disangka cuba melarikannya dalam kejadian di Bandar Country Homes di sini pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi apabila remaja tersebut bersama ibunya pergi ke sebuah warung di lokasi kejadian sebelum disedari hilang oleh ibunya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, pengadu kemudian telah membuat pertanyaan kepada peniaga yang berada di kawasan berhampiran dan dimaklumkan anaknya itu telah mengikut seorang lelaki dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna kelabu.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati seorang kenalan ibu remaja tersebut telah memuat naik video kejadian yang berlaku sehingga kenderaan yang membawa anaknya berjaya ditemukan oleh orang awam di Saujana Rawang kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Pengadu mendapati anaknya dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan dan pemandu itu dituduh cuba melarikan mangsa.
“Siasatan mendapati ketika membeli sarapan, mangsa telah berjalan seorang diri tanpa pengetahuan ibunya dan telah menahan sebuah kenderaan yang ketika itu melalui kawasan tersebut dan pemandu lelaki berusia 80 tahun itu membenarkan dia menaiki kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zainal, pemandu itu beranggapan mangsa meminta pertolongan namun lelaki tersebut tidak pasti arah tuju remaja itu tidak berkata apa-apa sehinggalah ditahan oleh beberapa buah kenderaanz
Ujarnya, pihak polis mengesahkan tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah seperti ditularkan.
“Pengadu juga telah membuat penarikan laporan polis yang sebelum inI diklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










