PETALING JAYA: Selepas hampir sebulan dicari, lelaki yang memukul isterinya yang hamil sehingga koma ditahan polis semalam.
Suspek yang berusia 38 tahun ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Taman Bukit Angsana di sini.
Difahamkan suspek ditahan ketika berada di tepi jalan di lokasi tersebut.
Pemangku Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Dev Kumar ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu.
“Ya, suspek diberkas kira-kira pukul 11 pagi dan akan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk siasatan lanjut,” jawabnya ringkas.
Pada 4 Mei lalu, Jahidah Nordin, 43, dilaporkan bertarung nyawa selepas parah disyaki dipukul suaminya sendiri.
Jahidah yang juga kakitangan kerajaan dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Johor, sebaik insiden itu dialaminya.
Mangsa yang sedang hamil empat minggu itu mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.
Mangsa yang tidak sedarkan diri dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga selain nasihat daripada pihak HSA.
Pada 18 Mei lalu, polis mengedarkan gambar suspek bagi memudahkan orang ramai memberi maklumat lokasi keberadaan suspek selepas keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Maklumat peribadi suspek turut diedarkan membabitkan nama dan alamatnya yang beralamat di A 102 Perumahan Polis, Taman Derga Jaya, Alor Setar di Kedah dan bekerja sebagai peniaga.










