Lebih 85,000 permohonan MyTravelPass ditolak  - Utusan Malaysia

Lebih 85,000 permohonan MyTravelPass ditolak 

HAMZAH Zainuddin (tengah) beramah mesra dengan anggota keselamatan yang bertugas ketika hadir pada sesi walkabout di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak 86,309 permohonan MyTravelPass dengan kategori warga asing dan penduduk tetap (PR) paling banyak tidak diluluskan bagi tempoh bermula 7 Oktober tahun lalu sehingga semalam.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah itu daripada 201,076 permohonan yang diterima mengikut tujuh kategori ditetapkan.

“Jumlah permohonan kategori melibatkan kemasukan warga asing dan PR paling tinggi ditolak iaitu melibatkan kategori pas lawatan sosial iaitu sebanyak 16,310, ekspatriat (20,030) dan pekerja asing (23,196). 

“Permohonan MyTravelPass yang diluluskan pula sebanyak 114,767,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini. 

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud. 

Sementara itu, Hamzah berkata, tindakan tegas berhubung kemasukan warga asing itu membuktikan pihak berkuasa serius dalam memberikan sebarang kelulusan MyTravelPass kecuali kepada individu yang betul-betul mempunyai urusan penting seperti melibatkan pelajar yang menyambung pengajian di luar negara. 

Beliau bagaimanapun turut mengakui ada beberapa kelemahan perlu ditambah baik terutama melibatkan kebenaran menerusi MyTravelPass bagi mengelak sebarang penipuan berlaku. 

“Sebagai contoh, pengembara menggunakan MyTravelPass sebelum menaiki penerbangan dari negara asal, namun apabila sampai di sini ia tidak seperti yang ditunjukkan selepas diperiksa. Jadi itu satu penipuan. 

“Bagaimanapun, kita sedia mencari di mana kelemahan yang ada dan menangani sebaiknya supaya agenda menyekat warga asing keluar dan masuk negara dapat dilaksanakan dengan pemeriksaan terperinci dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. 

Di samping itu, katanya, JIM mengeluarkan arahan sekatan penuh ke atas warganegara India termasuk penerbangan dari negara India dalam mengawal penularan Varian of Concern (VOC) di negara ini sejak 28 April lalu. 

“Lanjutan daripada itu, JIM juga mengeluarkan arahan terbaharu sekatan penuh terhadap empat buah negara bersempadan India iaitu Nepal, Sri Lanka, Bangladesh dan Pakistan bermula pada 8 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya