Kilang produk getah diarah tutup, 3 pekerja disyaki positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Kilang produk getah diarah tutup, 3 pekerja disyaki positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Sebuah kilang pembuatan produk getah di Kuala Ketil, di sini diarah menutup sementara operasi selepas tiga pekerjanya disyaki dijangkiti Covid-19.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, tiga pekerja terbabit disyaki dijangkiti virus tersebut selepas melakukan Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) oleh klinik swasta.

“Polis kemudian mendapat aduan daripada orang awam berhubung isu operasi kilang tersebut dan semalam kita mengadakan perbincangan dengan pengurusan kilang.

“Hasil perbincangan, kita menasihati supaya kilang ditutup sementara dan pihak terbabit bersetuju,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis juga melakukan tinjauan ke atas tempat kediaman pekerja warga asing di situ dan menasihati serta memberi amaran kepada mereka supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kita menasihatkan semua pekerja asing yang dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tidak keluar dari rumah masing-masing dan pemantauan terus dilakukan,” ujarnya.

Tambahnya, Pejabat Kesihatan Daerah sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu termasuk menjalankan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) terhadap tiga pekerja terbabit.

“Pihak kilang juga telah mengambil inisiatif dengan menempatkan tiga pekerja itu di rumah berasingan bagi tujuan kuarantin sementara menunggu pengesahan ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN