PUTRAJAYA: Kes demam denggi menunjukkan trend penurunan tahun ini sebanyak 75 peratus manakala kematian akibat penyakit itu menunjukkan pengurangan sebanyak 91 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bermula Januari sehingga 12 Jun lalu, sebanyak 12,188 kes demam denggi dilaporkan dan lapan kematian akibat komplikasi demam denggi berbanding 48,584 kes dan 84 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, walaupun negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19, namun usaha memerangi ancaman wabak demam denggi tetap perlu diteruskan memandangkan penyakit itu adalah pandemik dan menjadi beban kesihatan awam di negara ini sejak sekian lama.
“Oleh itu, Kementerian Kesihatan ingin mengajak segenap lapisan masyarakat untuk terus berusaha membendung dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan Aedes secara konsisten dan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Adham berkata, Hari Denggi ASEAN disambut pada 15 Jun setiap tahun dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-11 sejak pertama kali dilancarkan bermula 2011.
Katanya, sambutan Hari Denggi ASEAN bertujuan mewujudkan platform advokasi pelbagai pihak termasuk dalam kalangan masyarakat untuk meneruskan usaha membanteras denggi secara berterusan dan bersepadu.
Pada tahun ini katanya, ’10 Minit Hapuskan Aedes’ merupakan tema yang dipilih untuk Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Kebangsaan yang bertujuan menekankan komitmen dan kerjasama padu daripada semua pihak termasuk masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta dalam meneruskan usaha membanteras demam denggi.
“Melalui pendekatan tema ini, mesej yang ingin disampaikan adalah masyarakat perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan Aedes pada setiap minggu di premis masing-masing.
“Sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, yang mana sebahagian besar waktu individu dan masyarakat diluangkan di rumah, kesempatan ini perlu diambil untuk memastikan premis kita bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.
Adham berkata, usaha pencegahan denggi ini juga turut diperkasakan melalui penglibatan pasukan sukarelawan COMBI di seluruh negara yang menjalankan aktiviti promosi pencegahan denggi melalui pendekatan norma baharu seperti media sosial.
Katanya, sehingga 31 Mei lalu, terdapat 3,084 pasukan COMBI dengan penyertaan 28,381 orang sukarelawan terdiri dari komuniti di seluruh negara.
“Kita mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen bersepadu semua pihak termasuk masyarakat dalam usaha berterusan menangani masalah penularan demam denggi di negara ini.
“Usaha ini perlu diteruskan demi memastikan rakyat di negara ini dapat menikmati tahap kehidupan yang berkualiti dan bebas daripada bahaya ancaman demam denggi,” katanya.










