‘Stesen minyak’ haram diserbu, 6,000 liter diesel dirampas

‘Stesen minyak’ haram diserbu, 6,000 liter diesel dirampas

PENGUAT kuasa KPDN memeriksa van yang menempatkan tangki diesel ketika serbuan di Taman IKS Paya Rumput, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kegiatan sindiket penyimpanan dan penjualan diesel secara haram di Taman IKS Paya Rumput di sini terbongkar selepas lokasi itu diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), malam tadi.

Op Tiris 4.0 yang dijalankan pada pukul 9 malam itu merampas kira-kira 6,000 liter diesel bersama pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, serbuan membawa kepada rampasan dianggarkan bernilai RM106,345 bersama penahanan dua lelaki bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan seorang warga Bangladesh yang memiliki dokumen perjalanan sah.

“Turut disita adalah sebuah lori, tangki tambahan berkapasiti 3,000 liter, dua unit skid tank, dua keping kad minyak, beberapa unit pam minyak, meter aliran serta wang tunai berjumlah RM6,450,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hazimin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melanggar Subperaturan 21 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menjalankan urus niaga borong, runcit atau mengilang barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah daripada Pengarah Pengawal Bekalan.

“Fokus utama Op Tiris 4.0 adalah membanteras ketirisan subsidi negara dan memastikan bekalan diesel bersubsidi sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

“KPDN Melaka akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN