KUALA SELANGOR: Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) akan memutuskan jumlah dos vaksin yang akan diberikan dalam Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) minggu ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah menerima permohonan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi mendapatkan vaksin untuk program itu.
“Dalam tempoh dua tiga hari ini, saya akan muktamadkan berapa dos vaksin yang boleh diberikan kepada sektor perkilangan, pembinaan dan lain-lain.
“Apapun, saya akan pastikan pengagihan dos ini tidak akan mengganggu PICK,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tanjong Karang di Institut Pengurusan Perladangan (IPP) Tanjong Karang di sini hari ini.
Minggu lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kira-kira 1.9 juta dos vaksin Covid-19 diperlukan bagi menjayakan Pikas menjelang September ini.
Beliau berkata, Khairy telah memberi jaminan untuk memberi jumlah vaksin berkenaan secara berperingkat.
Sementara itu, Khairy memuji kementerian berkenaan mengawal selia Pikas, yang dianggapnya sebagai berjaya.
Jelasnya, beberapa negeri lagi akan menyertai program berkenaan supaya lebih ramai pekerja sektor terbabit menerima vaksin secepat mungkin.









