Kepala ditetak parang gara-gara suruh kawan perlahankan suara - Utusan Malaysia

Kepala ditetak parang gara-gara suruh kawan perlahankan suara

KEADAAN kepala mangsa yang ditetak dengan parang oleh rakan serumahnya kerana tidak berpuas hati ditegur untuk memperlahankan suara di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Hanya kerana berang ditegur rakan serumah untuk memperlahankan suara, seorang lelaki berusia 23 tahun bertindak menetak rakannya dengan menggunakan parang sebanyak tiga kali di bahagian kepalanya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis menerima laporan berlaku pergaduhan melibatkan dua lelaki berkenaan pada pukul 5.15 petang di Taman Nusa Bestari di sini semalam.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila suspek tidak mahu menerima teguran mangsa untuk memperlahankan nada suara semasa bercakap kerana mangsa sedang berbual melalui telefon dalam biliknya.

“Apabila mangsa keluar dari bilik tersebut, suspek mendekati mangsa dan mengeluarkan parang dari dalam seluar lalu terus menetak mangsa di bahagian kepala sebanyak tiga kali.

“Ketika anggota polis tiba di lokasi, mangsa didapati berlumuran darah ekoran insiden yang berlaku di tingkat tiga kediaman tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dzulkhairi, mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan dibuat mendapati mangsa yang berusia 37 tahun itu mempunyai 15 rekod berkaitan kesalahan dadah manakala suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek yang merupakan seorang pekerja kilang itu ditahan di lokasi kejadian dan ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Dalam masa sama, polis turut merampas sebilah parang berukuran lebih kurang 37.7 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek akan dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN