Kementerian Kesihatan tunggu siasatan penuh polis kes jual vaksin - Utusan Malaysia

Kementerian Kesihatan tunggu siasatan penuh polis kes jual vaksin

NOOR Azmi Ghazali (kanan) beramah mesra dengan seorang penerima vaksin Covid-19 ketika melawat PPV Dewan Merdeka, Tapah. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kementerian Kesihatan sedang menunggu hasil siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhubung penjualan vaksin Covid-19 oleh tiga individu yang diberkas di Putrajaya dan Brickfields, kelmarin.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh pihak berkuasa sebelum pihaknya mengambil sebarang tindakan susulan.

“Kes yang dilaporkan ini sudah pastinya dalam siasatan polis kerana mengambil bayaran daripada suntikan vaksin adalah satu kesalahan.

“Saya percaya PDRM akan menjalankan siasatan menyeluruh dan kita tunggu hasil siasatan mereka,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Azmi menegaskan, pemberian suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah percuma, ia dibeli dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Justeru katanya, pengambilan suntikan tersebut di mana-mana fasiliti kesihatan awam mahupun swasta tidak boleh dikenakan sebarang bayaran.

“Di mana pun kita mengambil suntikan vaksin yang di luar (premis) kerajaan contohnya klinik, hospital swasta dan sebagainya ia tidak boleh dikenakan bayaran. Ini adalah seruan dan tertakluk kepada semua orang,” katanya.

Menerusi laporan media kelmarin, tiga individu termasuk dua wanita ditahan dalam tangkapan berasingan di Putrajaya dan Brickfields kerana disyaki terbabit dalam sindiket penjualan vaksin Covid-19.

Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 25 hingga 50 tahun itu dibuat susulan laporan polis oleh Pegawai Penyelidik di Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) yang mendapat maklumat mengenai aktiviti penjualan vaksin.

Modus operandi yang digunakan sindiket itu dengan menghubungi orang awam melalui telefon secara rawak sebelum menawarkan suntikan vaksin Covid-19 dengan bayaran RM420 bagi dua dos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya