PETALING JAYA: Kelulusan pergerakan secara one-off akan dilanjutkan sehingga 7 Julai ini kepada individu bekerja sendiri seperti tukang paip, penyelengaran dan penjaja di tepi jalan yang tidak mempunyai majikan untuk beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kelulusan yang sepatutnya tamat semalam akan diberikan pelanjutan secara automatik sehingga tarikh tersebut.
Jelas beliau, bagi pergerakan selepas 7 Julai, menerusi Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kesemua individu berkenaan perlu mengemukakan permohonan pergerakan baharu yang mana kelulusan akan diberikan untuk tempoh 14 hari dan perlu memohon semula selepas tamat.
“Orang ramai dinasihati agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan ketika berurusan di balai-balai polis.
“PDRM juga menyeru orang ramai untuk bersama-sama memainkan peranan dalam melandaikan keluk penularan wabak Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.