KDN ketuai operasi ketidakpatuhan SOP Covid-19 - Utusan Malaysia

KDN ketuai operasi ketidakpatuhan SOP Covid-19

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan operasi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) peringkat nasional yang dikenali sebagai OP PATUH dalam kalangan masyarakat dan sektor ekonomi terutama perkilangan. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan terbabit dicapai melalui mesyuarat pertama Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP PKP COVID-19 (JKPS) yang baru ditubuhkan disertai 21 kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.

Katanya, Op Patuh memberi lebih fokus dan bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan kilang dan premis perniagaan yang beroperasi, termasuk penyalahgunaan surat kelulusan. 

 “Malah, Sekatan Jalan Raya Bergerak (Mobile-Roadblock) ditumpukan di kawasan panas Covid-19 di seluruh negara terutama kawasan perkilangan dan perindustrian utama. Bagi melancarkan pelaksanaan operasi ini, penggunaan aset-aset strategik milik semua agensi penguatkuasaan yang akan diatur gerak secara bersepadu seperti helikopter dan dron bagi pemantauan lebih berkesan.

“Selain itu, bagi tindakan penguatkuasaan di lapangan yang lebih pantas dan tersusun, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertindak sebagai pasukan respon pantas (rapid response team) ke lokasi-lokasi yang dikenal pasti oleh sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE), sebelum tindakan susulan diambil oleh agensi penguat kuasa yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Hamzah berkata, semua agensi terbabit bertindak tegas mengikut kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). 

Katanya, bagi menambah baik prosedur pengurusan aduan yang diterima berhubung ketidakpatuhan dan pelanggaran SOP di seluruh negara, semua aduan yang diterima mana-mana agensi penguat kuasa, termasuk dari pihak Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dikoordinasikan KDN untuk tindakan penguatkuasaan di lapangan. 

“Malah peranan Pasukan Petugas Khas yang sebelum ini dikendalikan MKN diambil alih KDN bagi meneliti setiap aduan awam yang diterima, termasuk memastikan tindakan susulan diambil terhadap aduan tersebut. 

“Orang awam boleh mengemukakan aduan mengenai pelanggaran pematuhan SOP PKP melalui saluran aduan sedia ada MKN iaitu [email protected] atau saluran aduan KDN di [email protected],” katanya. 

Tambahnya, sehingga 24 Jun 2021, dalam tempoh 10 hari, hampir 123,469 premis perniagaan dan 21,919 kilang telah diperiksa di seluruh negara. 

“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 885 kompaun telah dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan, manakala 265 premis telah diarahkan tutup dan 39 tangkapan telah dilakukan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi SOP serta arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya