Kawanan gajah liar masuk kampung - Utusan Malaysia

Kawanan gajah liar masuk kampung

GAMBAR yang sempat dirakam penduduk menyaksikan kawanan gajah liar berkeliaran di pinggir hutan berdekatan Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kawanan gajah liar menceroboh ke kawasan kampung pedalaman Hulu Tembeling dengan merosakkan tanaman penduduk di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi itu, kawanan gajah liar yang terdiri daripada antara lima hingga enam ekor juga menceroboh bilik mandi terletak di luar beberapa buah rumah di situ dan merosakkan pakaian kotor yang masih direndam di dalam besen.

Penduduk Kampung Kuala Sat, Jefridin Bahari, 46, berkata, ketika kejadian itu dia dan keluarganya sedang tidur kemudiannya dikejutkan oleh isteri apabila terdengar bunyi bising di luar rumah.

“Pada mulanya kami menyangka kerbau yang lazimnya berada berdekatan rumah pada waktu malam, tetapi setelah dijengah keluar dan menyuluh menggunakan lampu, kami terkejut apabila beberapa ekor gajah liar sedang memusnahkan tanaman kelapa.

“Kira-kira 30 batang tanaman pokok kelapa yang berusia lebih setahun milik saya dan jiran dimakan dan dimusnahkan oleh haiwan liar ini dan turut merosakkan dinding bilik air dan pakaian yang sedang direndam,” katanya di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah berkata, dia juga menerima maklumat kejadian itu apabila seorang penduduk telah terserempak dengan gajah liar itu ketika dalam perjalanan ke kebun pada pukul 8 pagi.

“Kebun penduduk berkenaan cuma jarak kira-kira 50 meter berdekatan rumah, tetapi mujurlah tidak diganggu haiwan liar itu dan cepat beredar ke hutan berdekatan apabila ternampak kelibat manusia.

“Saya telah menghubungi renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memantau dan menghalau kawanan gajah liar ini ke hutan supaya tidak mengancam tanaman mahupun keselamatan penduduk,” katanya.

Tambahnya, kawanan gajah liar itu kerap merosakkan tanaman sawit dan getah penduduk sebelum ini berikutan habitat haiwan liar di kawasan pedalaman Hulu Tembeling sudah diteroka untuk pembangunan ladang dan pembalakan sejak beberapa tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya