Kampung Raja di Cameron Highlands antara dikenakan PKPD

Kampung Raja di Cameron Highlands antara dikenakan PKPD, 887 individu ditahan ingkar SOP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kawasan peranginan popular di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Isnin hingga 27 Jun ini selepas 29 kes positif Covid-19 dikesan dalam tempoh dua minggu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu melibatkan Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru.

Turut dikenakan PKPD selama tempoh 14 hari pada tarikh yang sama ialah di Kampung Lakai, Daerah Jelebu, Negeri Sembilan susulan 92 penduduknya disahkan positif setakat ini.

“Tujuh lagi lokaliti berbeza dilaksanakan PKPD di Sabah iaitu Kampung Indah, Daerah Nabawan; Kampung Manggis, Daerah Kuala Penyu dan Kampung Baru Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. di Daerah Sipitang.

“Dua lokaliti terletak di Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat iaitu Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan yang merekodkan sejumlah 12 kes baharu selain di Bahagian Tawau iaitu di Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah yang sudah mencatatkan sebanyak 20 kes positif.

“Bagaimanapun, dua lagi lokaliti di dua bahagian di negeri tersebut menyaksikan penamatan PKPD secara serentak esok seperti dijadualkan melibatkan Felda Sahabat 40 atau Kampung Kembara Sakti di Tungku, Daerah Lahad Datu, Bahagian Tawau dan Kampung Padawan, Daerah Papar, Bahagian Pantai Barat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juga ditamatkan PKPD esok ialah tiga lokaliti di Pahang iaitu Kampung Baru Melayu, Daerah Bentong; Felda Jengka 24, Daerah Jerantut dan Ladang Chin Teck, Muadzam Shah, Rompin selain tiga kawasan perumahan di Mukim Juasseh, Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ujarnya, lokaliti berkenaan yang membabitkan 2,216 orang penduduk di Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh mula dikenakan PKPD sejak 31 Mei lepas.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan 887 individu dicekup dengan 849 daripadanya dikompaun manakala 38 lagi direman hasil pemantauan 93,349 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.

“Kesalahan tertinggi kali ini ialah rentas kawasan dan makan di premis sebanyak 165 kes diikuti gagal merekod butiran di premis dengan 159 kes, tidak memakai pelitup muka (146), tiada jarak fizikal (144), membawa penumpang berlebihan (103), gagal mematuhi PKP (57), aktiviti pusat hiburan (15) dan lain-lain lagi (98),” katanya.

Beliau menambah, sebanyak tiga buah kenderaan darat turut berjaya dirampas semalam melalui Operasi Benteng serta 151 buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui lapan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 490 peruncit, 134 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,526 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya sebanyak 21 premis yang terlibat dikenakan kompaun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya