KUALA SELANGOR: Kadar pemberian vaksin Covid-19 di Selangor masih perlahan jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, Melaka, Terengganu dan Negeri Sembilan adalah tiga negeri yang mencatatkan penggunaan vaksin lebih 90 peratus daripada perolehan dos vaksin yang diterima mereka.
“Hampir semua negeri mencatatkan pemberian vaksin lebih 80 peratus, namun Selangor hanya 76 peratus.
“Sehingga 27 Jun, Selangor telah terima 1,367,306 dos vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZaneca.
“Dan sekarang ini, baki dalam simpanan mereka adalah 322,606 dos dengan kadar penggunaan vaksin adalah 76 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tanjong Karang, Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud menyangkal dakwaan Khairy bahawa kadar vaksinasi di Selangor adalah perlahan.
Sebaliknya dakwa Siti Mariah, dos vaksin di beberapa PPV di negeri tersebut tidak cukup dan berisiko untuk ditutup selama beberapa hari.
Khairy menjelaskan, dalam pertemuannya dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dua minggu lalu, kerajaan negeri memaklumkan hanya mampu memberi 40,000 dos vaksin sehari.
“Jadi, saya tak tahu mana dia (Siti Mariah) dapat maklumat 80,000 dos vaksin suntikan setiap hari itu.
“Saya harap, Selangor dapat tingkatkan pemberian vaksin kepada 100,000 dos sehari kerana kita jangka untuk terima lebih banyak vaksin daripada pembekal,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau meminta semua negeri menaikkan kapasiti pemberian vaksin kepada 90 peratus pada bulan hadapan.









