NIBONG TEBAL: Proses pemulihan ekonomi negara dapat berlaku dengan lebih pantas sekiranya matlamat dan sasaran 80 peratus imuniti kelompok dalam masyarakat dapat dicapai segera.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, adalah menjadi keutamaan ketika ini supaya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi Covid-19 Awam-Swasta (PIKAS) dapat dipercepat.
Malah, ujar beliau, ekonomi negara ketika ini juga sudah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan bagi suku kedua tahun ini apabila lebih banyak aktiviti perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI) diterima.
Sebagai contoh, katanya, negara pada minggu lalu menerima pelaburan berjumlah RM8.5 bilion daripada sebuah syarikat pembuatan papan litar bercetak (PCB) dari Austria yang akan membuka kilang pengeluaran di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah.
“Semua ini menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia dan saya yakin jika kita dapat mempercepatkan program pemberian vaksin dan mencapai matlamat imuniti kelompok seperti disasarkan, kita juga dapat mempercepat proses pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di Bukit Jawi Golf Resort, di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada unjuran pertumbuhan 6.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 perlu disemak semula berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 1 Jun lalu, Mohamed Azmin menjelaskan, kerajaan perlu menilai prestasi KDNK suku kedua tahun ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Bagaimanapun jelas beliau, keputusan melaksanakan PKP 3.0 perlu diambil kerana kerajaan tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan rakyat meskipun ia memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Azmin berkata, beliau berharap sasaran komuniti kelompok dalam kalangan lebih dua juta pekerja sektor pembuatan dapat dicapai menjelang September ini.
Tambahnya, perkara itu berdasarkan jaminan Kementerian Kesihatan yang mana bekalan vaksin sama ada untuk program PICK atau PIKAS akan ditingkatkan pada bulan depan dan Ogos. – UTUSAN ONLINE










