PERUBAHAN imej ala-ala wanita Korea atau gadis Kpop, penyanyi, Ara Johari mungkin dilihat sedang cuba mencuri perhatian ramai terutama kelompok peminat setianya.
Bukan apa, sejak mula popular tujuh tahun lalu, Ara dikatakan terlalu selesa dengan imej persis wanita tomboy yang tentunya kelihatan lasak.
Maka, untuk menyerlahkan sisi keayuan dan feminin, ia seakan tidak pernah terbayang dek akal semua peminat bahkan buat mereka yang mengenali dirinya secara peribadi.
Dalam erti kata lain, tak mungkin Ara sendiri mahulah! Atau barangkali ada sebab tertentu? Misalnya, hati sedang dirisik cinta seseorang?
Tergelak besar penyanyi ini saat diaju pertanyaan sama ada memang ternyata dirinya kini sedang jatuh cinta. Semacam kata orang, hebatnya kuasa cinta, seputar dunia juga mampu berubah.
Perlahan-lahan butir bicara diatur. Kata Ara, mana mungkin hanya dengan keinginan berkahwin atau memiliki seseorang maka barulah dia mahu merubah imej lamanya.
“Tak adalah, bukan sebab itu saya nak ubah imej feminin sekarang. Tak ada kaitan dengan soal mencari jodoh atau sedang bercinta dengan siapa-siapa. Saya faham, orang kaitkan soalan begitu sebab biasanya orang berubah kerana seseorang yang lain.
“Sebenarnya, saya jenis yang akan pakai apa yang dirasakan selesa. Cuma perubahan kali ini nampak ketara kerana sangat-sangat berbeza dengan imej wanita tomboy.
“Tetapi apa salahnya kalau saya nak berubah ke arah yang lebih manis begini? Comel juga bukan?” katanya berseloroh.
Kongsi anak kelahiran Negeri Sembilan ini lagi, seiring dengan kematangan usia, seseorang individu itu tentunya berevolusi sebagai tanda dia berkembang dari satu fasa ke satu fasa hidup yang lain.
“Kalau dulu mungkin kebanyakan perkara saya ikut kata orang, kali ini saya sudah tahu bagaimana untuk meletak dan menggunapakai prinsip dan kemahuan diri.
“Sesuatu perubahan itu bagi saya bagus. Tetapi ia bukan bermakna saya kini sudah meletakkan standard atau sudah pandai bersikap ‘demand’. Apa yang dilakukan ini demi memastikan orang nampak keistimewaan saya.
“Kita akan rasa lebih yakin bila orang tengok dan senang dengan kita bukan? Tak kisahlah secara peribadikah, dalam video muzik, gambar atau pun ketika saya berada di pentas. Kalau kita nampak cantik dan tidak selekeh, diri sendiri pun rasa lebih yakin dan bersemangat,” katanya.
Masih banyak belum dicapai
Sengaja mengusik sama ada dia sebenarnya sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujang lantaran barangkali ada kalangan teman-teman sebayanya sudah ada yang berani memilih untuk bernikah muda, Ara tidak melenting.
Baginya, soal yang satu itu lebih baik diserahkan kepada Tuhan memandangkan tiada daya dirinya sebagai seorang manusia kerdil untuk memandai-mandai mengambil alih ‘tugas’ dan perancanganNya.
“Terus-terang, masih banyak yang belum saya capai dalam hidup ini. Terlalu banyak impian dan hasrat yang belum tertunai. Misalnya, membeli dan menyediakan sebuah rumah yang selesa untuk ibu dan ayah.
“Jadi, untuk berkahwin? Masih jauh lagi perjalanan saya. Belum ada sesiapa yang menghuni di hati ini, jangan risau. Mungkin jodoh saya itu masih bersekolah lagi,” katanya sambil ketawa.
Tetap Aku Cinta
Dalam perkembangan kerjaya, wanita berusia 23 tahun ini melahirkan rasa terharu lantaran berjaya menghasilkan single terbaru berjudul Tetap Aku Cinta ciptaan Amy Bong dan Burhan.
Single kelima terbitan Rocketfuel Entertainment tersebut kata Ara, memiliki nuansa balada rock moden dan diklasifikasikan sebagai sebuah lagu harapan untuk dia mencuba menembusi pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) akan datang.
“Bukan mudah untuk membawakan lagu ini. Saya banyak bermain dengan teknikal vokal yang sangat rumit. Boleh dikatakan, Tetap Aku Cinta ini adalah lagu yang paling susah saya pernah bawakan antara semua lagu yang sedia ada.
“Menerusinya, diharapkan ia mampu membawa tuah dan peluang untuk saya kembali bertanding di pentas AJL setelah dua tahun sepi.
“Tapi ia bergantung kepada rezeki juga. Cuma bila ditanya,saya tak akan tipu, memang harapan untuk masuk AJL itu sangat tinggi. Namun, kalau peminat dan pendengar menerima lagu ini dengan baik pun, itu saya anggap satu kejayaan juga,” katanya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai pembikinan video muzik lagu tersebut yang sudah pun diancarkan pada 4 Jun lalu, kata Ara, ada kisah di sebalik karektor yang dilakonkan olehnya.
Mengaku timbul rasa segan dan kekok untuk beraksi manja dan manis dengan pelakon lelaki yang dipasangkan dengannya, Ara tidak menolak dia berdepan dengan cabaran untuk memberikan yang terbaik demi video muzik tersebut.
“Sebenarnya, kekasih dalam video muzik Tetap Aku Cinta itu merupakan sahabat baik saya sendiri. Walaupun kami rapat, tapi untuk saya beraksi manja bak pasangan kekasih itu sangat janggal,” katanya.










