MARAN: Saranan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin harus dihormati dan disokong semua pihak.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, titah dan pandangan Yang di-Pertuan Agong itu menepati aspirasi majoriti rakyat di negara ini.
Jelasnya, tentunya pandangan itu dizahirkan Seri Paduka setelah mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja Melayu serta mengambil pandangan pelbagai pihak dan pakar perundangan.
Jelasnya, pendekatan Yang di-Pertuan Agong mendapatkan maklum balas kerajaan dan ketua parti-parti politik adalah yang terbaik bagi menangani isu politik, keselamatan dan kesihatan rakyat yang berdepan dengan ancaman Covid-19.
“Saya selaku Ahli Parlimen tiada masalah menyokong malah mengalu-alukan pembukaan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat kerana di situlah medium wakil rakyat membahaskan masalah rakyat.
“Sidang Parlimen juga bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat, secara telus dan terbuka,” katanya kepada pemberita selepas program imunisasi Covid-19 masyarakat Orang Asli di Batu 55 Jalan Maran-Jerantut di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit Mohd. Sopian Abd. Jalil dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi.
Selepas selesai Sesi Perbincangan Khas antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kelmarin, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan sesi Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Titah Seri Paduka, Parlimen yang berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.
Ismail berkata, jika diadakan kelak, sidang Parlimen perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.
“Ini kerana perbuatan dan tingkah laku wakil rakyat dan apa yang berlaku di Dewan Rakyat dapat disaksikan rakyat menerusi televisyen,” katanya.
Jelasnya, menjadi harapan rakyat agar pembukaan sidang Parlimen nanti dapat memutuskan langkah terbaik demi meningkatkan ekonomi, peluang pekerjaan, kesihatan awam, keamanan dan cara berkesan memerangi ancaman Covid-19.








