Hartanah LTSAAS tidak dijual - Utusan Malaysia

Hartanah LTSAAS tidak dijual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tiada perancangan untuk menjual sebarang hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang kepada mana-mana pihak.

Kementerian Kewangan memaklumkan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun iaitu sehingga 2067, ke atas tanah di mana terletaknya LTSAAS buat masa ini.

Menurutnya, hartanah lapangan terbang dianggap sebagai aset strategik kerajaan.

“LTSAAS merupakan salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi di antara kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada 2009. MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, setakat ini, MAHB masih merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS.

Jelasnya, sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (sub leased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn. Bhd. bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.

“Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan melibatkan penjualan hartanah.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan ingin menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angin mengenai perkara ini dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak-pihak yang berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berasingan menegaskan, tidak ada sebarang keputusan dibuat Kabinet untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta, seperti yang didakwa pihak tertentu.

Jelasnya, hak pengoperasian kekal di bawah Perjanjian Pajakan yang diberikan kepada MAHB untuk mengendali, mengurus dan menyelenggara termasuk menetap, mengguna dan mengawal LTSAAS sehingga 2034 dan 2067.

“MAHB bertanggungjawab untuk mengembangkan LTSAAS sebagai hab aeroangkasa antarabangsa mengikut keputusan Kabinet pada 2 Mac 2005. Tidak ada keputusan lain yang dibuat untuk mengubah perkara ini.

“Kerajaan memahami dan mengulangi pendirian bahawa usaha dan pertimbangan sewajarnya diperlukan sebelum membuat keputusan akhir mengenai aset-aset strategik awam yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, seperti LTSAAS,” katanya.

Justeru, Kementerian Pengangkutan meminta orang ramai untuk berhenti daripada menyebarkan maklumat salah mengenai perkara ini atau tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebarkannya.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa menjual aset MAHB itu dipercayai kepada sebuah syarikat swasta, WCT Bhd. (WCT).

Pergerakan Pemuda UMNO turut membangkitkan perkara itu semalam dan meminta kerajaan memberikan penjelasan kerana ia menimbulkan reaksi kurang senang pelbagai pihak.

Pakar penerbangan, Jaafar Zamhari pernah menyuarakan sebelum ini yang menyatakan sekiranya WCT mengambil alih LTSAAS, ia akan memberikan impak negatif kepada MAHB sebagai pengendali antara 39 lapangan terbang itu.

Pada 22 Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pihaknya telah menyerahkan pelan strategik dan menyeluruh berjangka panjang bagi pembangunan semula LTSAAS kepada kerajaan.

Katanya, pelan itu memerlukan pelaburan infrastruktur bernilai RM300 juta yang dilaksanakan secara berperingkat selama lima tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya