fbpx

[Video] Harapan Tun M kepada Majlis Raja-Raja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang esok diharap diberi maklumat dari kedua-dua pihak, bukan hanya menilai pandangan yang disampaikan dari pihak kerajaan sahaja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, berkenaan cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (Mageran) yang beliau bangkitkan semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah baru-baru ini, ia sebagai satu penyelesaian untuk menangani masalah dalam negara.

Beliau menjelaskan, penubuhan majlis itu bukanlah untuk menggantikan kerajaan sedia ada atau menyekat Parlimen daripada bersidang, sebaliknya ia diberi kuasa menangani empat masalah yang melanda negara ini.

“Pertama, kita harap Majlis Raja-Raja ini diberi maklumat dari kedua-dua pihak, jangan dari pihak kerajaan sahaja.

“Sudah tentu kerajaan menolak (penubuhan Mageran), tetapi ada yang bersetuju. Dalam kalangan parti lawan pun ada yang tidak bersetuju kerana masing-masing mengutamakan peranan mereka terutama ahli politik yg mana penyelesaian mereka ialah menggantikan kerajaan.

“Sebaliknya kita tak cadang menggantikan (kerajaan), tak bercadang Parlimen tidak bersidang, kita nak Parlimen juga bersidang, tapi badan ini diberi kuasa tangani empat masalah yang melanda negara kita,” katanya di sini hari ini.


Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengutarakan cadangan Mageran itu sebagai menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara ekoran penularan pandemik Covid-19.

Penubuhan Mageran pada 1969 diketuai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dikatakan menyelesaikan masalah politik dihadapi ketika itu dan negara kekal stabil untuk tempoh panjang.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad memberitahu, cadangan penubuhan Mageran bukan langkah sesuai kerana akan merencatkan perancangan kerajaan untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini. -UTUSAN ONLINE