Hanya tiga peruncit disiasat naikkan harga minyak 

Hanya tiga peruncit disiasat naikkan harga minyak 

ANGGOTA Penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan bekalan minyak masak di beberapa premis perniagaan di seluruh negara, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan hanya tiga peruncit melakukan kesalahan mencatut dalam  penguatkuasaan Op Rantai 7.0 (minyak masak) setakat tahun ini.

Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP berkata, tiga kertas siasatan dibuka dan dua kes telah diambil tindakan bagi kesalahan mencatut manakala satu kes lagi dalam siasatan lanjut.

Katanya, hasil tindakan penguatkuasaan tersebut didapati 163 daripada 166 item minyak masak yang diperiksa adalah tidak mencatut.

“Margin keuntungan yang diambil adalah konsisten dan notis-notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapat maklumat lanjut berhubung dengan peningkatan harga yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, peningkatan harga yang berlaku secara umumnya adalah disebabkan peningkatan kos bahan mentah utama bagi pengeluaran minyak masak tersebut iaitu minyak sawit mentah yang terus meningkat daripada tahun lepas hingga ke hari ini.

“Pemantauan harga minyak masak di pasaran masih diteruskan bagi mengesan aktiviti peningkatan harga yang tidak terkawal dan memastikan peniaga yang mencatut diambil tindakan sewajarnya di bawah AKHAP 2011. 

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dengan mencatut sehingga mengakibatkan ketidakstabilan harga barangan keperluan di pasaran yang akhirnya akan membebankan rakyat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kementerian sentiasa melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan terhadap barangan yang menjadi keperluan asas rakyat.

Ini termasuklah harga minyak masak di pasaran supaya tiada pihak mengaut keuntungan tinggi dan tidak munasabah (mencatut) sehingga mengakibatkan peningkatan harga barangan di pasaran khususnya di saat negara sedang dilanda pandemik Covid-19. 

Kenyataan tersebut juga memaklumkan, kualiti minyak masak polibeg satu kilogram (kg) adalah sama dengan kualiti minyak masak yang dijual dalam pek botol.

Ujarnya lagi, harga minyak masak polibeg satu kg tersebut telah diberikan subsidi kerajaan yang menyebabkan harganya jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan minyak yang dijual dalam botol. 

“Tujuan utama adalah bagi memastikan rakyat boleh mendapatkan harga minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga yang munasabah iaitu RM2.50 bagi satu kg polibeg. 

“Tambahan pula, kos pembungkusan bagi pek dalam polibeg adalah lebih menjimatkan,” katanya.

Jelasnya lagi, tidak wujud sebarang isu minyak masak polibeg satu kg adalah tidak berkualiti dan merupakan minyak terpakai yang dikitar semula seperti pandangan pihak-pihak tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.