fbpx

26 September 2021, 12:20 am

Guna galah untuk capaian internet

PENDUDUK menunjukkan galah panjang atau batang pencantas pelepah kelapa sawit yang dipasang booster untuk mendapatkan capaian internet di Teluk Intan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Capaian internet yang tidak stabil mendorong penduduk di beberapa buah kampung di sini menggunakan ‘booster’ yang dipasang pada galah panjang atau batang pencantas pelepah kelapa sawit untuk menambah kekuatan isyarat.

Penduduk berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan cara itu disebabkan capaian internet yang lemah sehingga menjejaskan anak-anak mereka untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Galah sehingga ada yang mencecah ketinggian 40 kaki itu banyak banyak digunakan di Kampung Sungai Samak, Sungai Manila, Sungai Bugis dan Bagan Lalang di sini.

Ketua Kampung Sungai Samak, Ahmad Hilmi Yunus, 56, berkata, masalah capaian internet yang lemah sudah lama dialami penduduk sehingga menyukarkan komunikasi mereka.

Menurutnya, selain untuk PdPR, keadaan itu juga menyukarkan mereka untuk berhubung jika berlaku kecemasan.

“Untuk memasang alat ini, kosnya agak tinggi juga, namun kami tiada pilihan kerana ca­paian internet di sini lemah.

“Apatah lagi sekarang pelajar belajar secara dalam talian, sudah tentu mereka perlukan capaian internet yang stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, pemasangan booster pada galah atau batang pencantas pelepah kelapa sawit juga mempunyai risiko kerana ia boleh tumbang jika angin kuat.

“Saya wakil penduduk empat kampung di sini berharap pihak yang berkenaan datang melihat keadaan kami yang berdepan masalah internet.

“Ini menyebabkan boleh dikatakan setiap rumah di sini ada sebatang galah dipasang booster untuk kami mendapatkan capaian internet,” katanya.

Seorang pelajar, Muhammad Ali Fiqri Parmen, 19, berkata, dia perlukan capaian internet yang stabil untuk mengikuti sesi PdPR.

“Jika kami tidak menggunakan cara sekarang bagi mendapatkan internet, macam mana kami mahu mengikuti PdPR,” katanya.

Pelajar lain, Muhammad Istikom, 18, berkata, masalah itu sudah dialami sejak sekian lama dan keadaannya tidak bertambah baik.

“Saya minat untuk belajar, tapi disebabkan Covid-19 terpaksa belajar di rumah. Jika tiada internet macam mana saya nak belajar,” katanya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI