Durian dijual harga ‘kayangan’ - Utusan Malaysia

Durian dijual harga ‘kayangan’

PERMINTAAN durian Balik Pulau, Pulau Pinang tetap mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pelanggan biarpun harga jualannya masih tinggi. – UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: “Hanya mampu dinikmati golongan kayangan.”

Demikian dakwa penduduk yang menetap di Bayan Lepas, Teluk Kumbar, Pulau Betong, Sungai Pinang dan Teluk Bahang di sini mengenai harga jualan durian yang tinggi sehingga mencecah RM100 sekilogram.

Mereka mendakwa tidak lagi berpeluang merasai kenikmatan buah tempatan itu walaupun tinggal berdekatan lokasi pengeluarannya.

Buah durian kampung kini dijual sekitar RM10 hingga RM15; durian kahwin (RM25 hingga RM35); D2 (RM25 hingga RM28); D24 (26 hingga RM30); 604 (25 hingga RM28), Ho Lor (RM38-RM40); Musang King (RM65 hingga RM75) dan duri hitam (RM75 hingga RM100) sekilogram.

Seorang penduduk Teluk Kumbar, Hussin Ahmad, 50 berkata, buah durian kini tidak lagi menjadi santapan bermusim buat golo­ngan biasa terutama penduduk kampung yang tinggal berdekatan dusun buah-buahan itu.

Dakwa bapa kepada enam cahaya mata itu, sebaliknya buah durian Balik Pulau kini hanya mampu dinikmati golongan ‘ka­yangan’ atau berpendapatan tinggi.

“Dahulu setiap kali tiba musim durian, penduduk yang tinggal dekat dengan dusun menjadi orang pertama yang mula merasai kenikmatan buah bermusim itu sebelum dipasarkan secara meluas pada harga serendah RM3 hingga RM5 sekilogram bagi durian kampung.

“Hari ini, semua jenis buah durian boleh dikategorikan sebagai buah-buahan ‘kayangan’ dengan harga duri hitam boleh mencecah sehingga RM400 sebiji,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, seorang penduduk Pulau Betong, Hakimi Roslan, 43, memberitahu, dia kini hanya mampu melihat tauke-tauke durian mengusung buah itu keluar dari dusun dan menjual kepada peraih setiap hari.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai dusun, memang tidak akan berpeluang menikmati buah itu di saat ini disebabkan harganya terlampau mahal, apatah lagi pada hujung minggu.

“Kami yakin harga buah durian akan jatuh pada musim terakhir pengeluarannya disebabkan berlaku lambakan buah di kebanyakan gerai-gerai tepi jalan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya