SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan bersidang segera selaras dengan pendirian pihak Raja-raja Melayu bahawa DUN dibolehkan bersidang secepat mungkin.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan mengeluarkan notis pemakluman kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Untuk prosesnya, kita beri notis meminta jika ADUN mempunyai soalan untuk diajukan, kita juga akan masukkan agenda-agenda persidangan.
“DUN Negeri Sembilan menjunjung kasih dengan pendirian baginda, kita juga sememangnya mahu sidang DUN segera dilaksanakan, banyak perkara yang perlu kelulusan DUN. Ditambah dengan kes Covid-19 yang semakin meningkat di negeri ini, perlu ia dibincangkan di dalam DUN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Zainal Syed Ahmad menerusi kenyataan media yang dikeluarkan dengan perkenan Raja-Raja Melayu semalam memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
Di peringkat negeri pula, Raja-Raja pemerintah turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin. – UTUSAN ONLINE










