KUANTAN: Pahang mencatatkan sebanyak 57 kes baharu positif Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan mencecah ke angka 11,764 kes, hari ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Bahari Awang Che Ngah berkata, berdasarkan jumlah kes baharu itu, 49 kes merupakan warganegara Malaysia manakala lapan kes merupakan warganegara asing.
“Semua kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan iaitu 16 kes diperoleh daripada saringan kluster, 28 saringan kontak rapat dan tujuh saringan bergejala.
“Terdapat dua kes setiap saringan iaitu kendiri dan bersasar serta, masing-masing satu kes bagi saringan pra pekerjaan dan pra pembedahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Bahari berkata, sebanyak 10 daerah masih lagi mencatatkan pertambahan kes melibatkan enam kluster yang masih aktif.
“Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (27 kes), diikuti Cameron Highlands (tujuh kes), Temerloh (enam kes), Jerantut (lima kes), Maran (lima kes), Raub (tiga kes), dan Pekan, Rompin, Bera dan Bentong mencatatkan satu kes bagi setiap daerah.
“Sehingga kini, enam kluster yang mencatatkan pertambahan tujuh kes bagi Kluster Rantau Kenanga (keseluruhan 133 kes), tiga kes bagi Kluster Jaya Gading (165 kes), Kluster Industri Indera Mahkota 14 kes sehingga bertambah kepada 107 kes.
“Bagi Kluster Paya Teh pula terdapat dua kes baharu menjadi 276 kes, Kluster Delima Raya bertambah satu kes menjadi 130 kes dan Kluster Industri Mentakab terdapat satu kes menjadikannya 84 kes,” katanya.
Sementara itu, katanya, terdapat satu kes kematian baharu dilaporkan ke Kementerian Kesihatan menjadikan jumlah kumulatif kematian di negeri ini meningkat kepada 102 kes.
“Kes kematian ke-102 merupakan seorang lelaki berusia 80 tahun dari Paya Pulai Tengah, Jalan Maran, Temerloh,” katanya.










