Cahaya dalam kabut - Utusan Malaysia

Cahaya dalam kabut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAK cukup setahun, Covid-19 mahu meragut 2021 pula daripada kita. Pandemik ini semakin menekan; mengurung jiwa kita dengan kekangan fizikal.

Apa lagi yang boleh selamatkan 2021? Jerman menang Euro 2020?

Mungkin 10 tahun lepas nasib negara Jerman dalam pertandingan bola sepak akan menjadi keutamaan saya. Namun, tahun ini saya lebih tenggelam dalam dunia muzik.

Untuk itu, saya boleh katakan 2021 masih baik bagi saya. Puncanya, tahun ini kita dihadiahkan dengan banyak rilisan tempatan yang baik-baik belaka.

Awal tahun lalu, Ramayan tampil dengan album Di Persiaran Cakerawala. Ia hadiah istimewa buat peminat yang ternanti-nanti rilisan baharu mereka.

Album itu saya masih anggap antara yang terbaik tahun ini. Buat yang memilikinya akan faham mengapa. Yang belum kenal Ramayan, boleh dengar tiga lagu yang dikeluarkan secara digital sebagai single: Lamunan Anak Bulan, Puas dan Permulaan Cinta Intan. Ketiga-tiganya mempunyai perasa berbeza dan boleh bawa kita mengembara jauh merentas ruang dan masa.

Ramayan dicabar Jemson de­ngan album swatajuk yang dilan­carkan baru-baru ini. Kalau album Ramayan nasi lemak klasik, album Jemson nasi kandar lauk mewah.

Variasinya mengagumkan; di­tambah pula dengan kolaborasi yang pelbagai. Dengan album ini, Jemson meletakkan diri mereka di tahap yang tinggi. Kebolehan komposisi Najmi tak boleh diperti­kai dan bintang Myo terus bersinar.

Rilisan digital Glistening Redchair, Celestial juga berbaloi didengar selain album Lagu Perang oleh Monoloque. Di arus perdana, pelancaran album Belagu oleh Dayang Nurfaizah sangat menyenangkan hati.

Itu yang sudah, yang belum bagaimana?

Selain album 2nd Voyage oleh Sekumpulan Orang Gila, ada beberapa album lagi yang saya fikir berpotensi masuk senarai album terbaik tahun ini.

Dewataraya

Kugiran ini ada ‘barang’ tetapi belum cukup untuk menarik lebih ramai pendengar untuk menikmati karya mereka.

Bukanlah tidak bagus rilisan mereka sebelum ini tetapi belum ada lonjakan yang boleh membuatkan mereka menjadi kegemaran ramai orang. Kita tahu, dalam industri muzik, kualiti bukan penentu tunggal.

Saya ada dengar vokalisnya, Nawi bersembang tentang haluan baharu mereka. Saya fikir, haluan ini ada potensi menjadi lonjakan yang mereka perlukan.

Muzik yang lebih ‘besar’ dengan komposisi yang lebih kompleks. Mungkin tak boleh masuk Melodi tapi ia mampu meletakkan Dewataraya dalam radar para penggila muzik.

Dewataraya merancang untuk melancarkan album ini awal tahun depan tetapi tahun ini, dua lagu akan dilancarkan sebagai single. Kita tunggu bagaimana rupa Dewataraya baharu!

A. Limin

Kugiran yang belum mendapat penghargaan sepatutnya. Album Adam sepatutnya sudah boleh melonjakkan nama tetapi masih ramai tidak perasan kewujudan mereka.

Tahun ini mereka akan tampil dengan album baharu dan saya diberi peluang mendengar beberapa demo. Kepala saya hampir pecah ketika itu.

Sebuah major upgrade. Tidak hairanlah AG Coco kata, album itu macam album kelima mereka. Adam sudah cukup hebat tetapi album baharu ini dua-tiga kali lebih hebat. Bayangkan. Pecah kepala.

Mafidz dan Megat Fazly

Tahun 2021 akan berakhir dengan indah jika Mafidz sempat melan­carkan album baharu mereka. Sudah lama sejak Ada Angin Dan Hati dilancarkan. Album baharu mereka ditunggu ramai.

Saya juga berpeluang mendengar beberapa trek dan saya boleh jamin, album ini mampu membantu kita melupakan sengsara pandemik.

Lebih istimewa lagi, Megat Fazly juga akan tampil dengan album solo! Sebagai peminat Soundcloudnya sejak zaman universiti, saya sangat teruja menantikan album itu.

 

Akhir kata, saya doakan tahun ini akan bertambah baik. Semoga kita semua cukup kuat untuk meredah kabut yang penuh dengan ketidaktentuan ini dan bertemu cahaya pada penghujungnya.

Dalam membina kekuatan merentasi kabut tebal ini, semoga karya muzik tempatan dapat menjadi peneman kita. Mengisi jiwa kita yang kosong dan mengajak kita menjadi tabah. Dirgahayu muzik Malaysia!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN