GEORGETOWN: Kerajaan disaran membuka semula semua sektor ekonomi dengan segera di kawasan yang bukan lagi zon merah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membantu menyelamatkan peniaga daripada tekanan ekonomi.
Presiden Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Najmudeen Kader berkata, ini kerana peniaga yang terlibat dalam sektor peruncitan, makanan dan sebagainya melibatkan majoriti peniaga Muslim sudah ‘hampir mati’ selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara menyeluruh bermula awal bulan ini.
“Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang yang terdiri daripada ramai peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta mikro rasa amat bimbang dengan perkembangan semasa.
“Kami memerlukan pertimbangan kerajaan untuk membuka semula semua sektor ekonomi bagi kawasan-kawasan yang bukan lagi zon merah dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi membantu para peniaga yang terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga perlu mewujudkan jawatankuasa Majlis Tindakan Ekonomi Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) serta usahawan mikro atas dasar PKP akan berlangsung selama setahun.
Katanya, ahli majlis berkenaan mestilah terdiri daripada dewan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya dapat mencari kaedah terbaik membantu semua peniaga PKS dan mikro.
“Golongan PKS dan mikro merupakan tulang belakang ekonomi setiap negara dan perlu dilindungi, namun kini ramai pemilik perniagaan PKS dan mikro memilih menutup premis mereka.
“Terdapat peniaga-peniaga yang menjual barangan mereka bagi menampung kelangsungan hidup memandangkan hampir majoriti peniaga-peniaga ini bergantung kepada pendapatan harian,” katanya.
Tambahnya, ketegangan ekonomi akibat PKP dapat dirasai oleh semua pihak dan kini memasuki peringkat mengejutkan yang mana di Pulau Pinang kes bunuh diri dilaporkan semakin meningkat.
“Jumlah kes bunuh diri di seluruh Malaysia meningkat lebih 20 peratus akibat tekanan hidup ekoran hilang punca pendapatan dan kebanyakannya disebabkan perniagaan muflis melibatkan pemilik restoran dan lain lain.
“Keadaan terdesak golongan peniaga ini menunjukkan permulaan yang mana isu kewangan boleh membawa kesan maut kepada mereka yang mengalami tekanan,” katanya.










