BEIJING: Seorang blogger dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan kerana mengeluarkan komen berbaur fitnah mengenai tentera China yang maut dalam pertembungan dengan tentera India di wilayah Himalaya tahun lalu.
Lapor BBC, Qiu Ziming, 38, didapati bersalah selepas melemparkan fitnah mengenai kematian tentera China dalam pertembungan itu.
Akhbar Global Times melaporkan, Ziming merupakan individu pertama didakwa atas kesalahan jenayah itu selepas China melakukan pindaan terhadap undang-undang jenayah negara itu.
Mereka yang didakwa dibawah undang-undang tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Lelaki itu juga diarahkan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.
Ziming yang muncul di stesen penyiaran CCTV menyatakan dia berasa sangat malu dengan tindakannya.
Ziming dilaporkan memuat naik komen berbaur fitnah mengenai kematian pasukan pertahanan negara itu di laman media sosial pada 10 Februari lalu.
Ziming kemudian ditahan dan mengaku memuat naik komen terbabit hanya untuk mendapat perhatian di laman media sosial.
Platform Weibo juga menyekat akaun Ziming selama setahun. – AGENSI










