BUKAN hanya manusia sahaja yang memiliki ‘bantal dan selimut busuk’, tetapi haiwan pun tidak terkecuali.
Contohnya, kakaktua peliharaan Aleeya Yasmeen Azhari yang tidak boleh berpisah dengan selimut busuknya.
Walaupun sudah berlubang-lubang dan lusuh, namun tetap digemari Toby.
“Saya pernah menukarkan selimut baharu untuknya tetapi langsung tidak disukai.
“Paling mengejutkan, Toby tidak lena tidur malam itu tanpa selimut busuknya,” katanya baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, katanya gaya tidur burung tersebut sangat berbeza berbanding burung-burung lain.
Toby lazimnya membalut badan dengan selimut sebelum berbaring, sama seperti manusia.
“Sekali imbas, pasti menyangka sangkar itu kosong sedangkan ada seekor burung yang nyenyak tidur,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Aleeya Yasmeen mula memelihara haiwan itu sejak 2023 lagi.
Katanya, penjagaaannya mudah terutama setelah menginjak dewasa.
Burung kesayangannya itu tidak cerewet dari segi pemakanan dan boleh makan nasi seperti manusia.
“Makanan kegemarannya ialah keropok dan setiap kali melihatnya ia pasti teruja,” katanya.
Dari segi kebersihan diri pula, Toby mempunyai cara tersendiri untuk mandi iaitu dengan berendam di dalam air sejuk.
Bagaimanapun, kakaktua ini mempunyai kelemahan iaitu tidak mempunyai kebolehan meniru percakapan manusia.
Sebaliknya, ia mempunyai cara unik untuk berkomunikasi dengan mengeluarkan bunyi tertentu.
Bunyi itu dibuat apabila menyedari ada orang membuka pagar rumah.
Selain itu, Toby juga akan turut ketawa apabila dia atau ahli keluarganya berbuat demikian, seolah-olah ia dapat memahami suasana sekeliling.

Gemar duduk depan cermin
Toby pernah mempunyai pengalaman buruk apabila terbang di luar rumah.
Nasibnya kurang baik apabila dikejar burung-burung liar.
Akibatnya, Toby tersangkut di atas pokok.
Sejak kejadian itu, ia trauma untuk keluar rumah.
Bahkan tidak lagi berminat untuk terbang tinggi.
Toby lebih selesa menanti di luar rumah tanpa perlu terbang lebih jauh.
Di dalam rumah pula, Toby gemar berlegar-legar di cermin panjang.
Kata Aleeya Yasmeen, kawasan tersebut seolah-olah menjadi tempat peribadi untuknya berehat dan memerhati keadaan sekeliling.
Sementara itu, ujarnya, musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri merupakan waktu yang turut dinanti-nantikan Toby.
Kediaman tuannya kerap dikujungi ramai tetamu sekali gus menjadikan suasana lebih meriah.
Malah, ada dalam kalangan tetamu gemar menyuapkan Toby dengan keropok kegemarannya.
Toby pula gemar hingga di bahu para tetamu.
Namun, Aleeya Yasmeen sentiasa berwaspada dan memerhati tingkah laku Toby kerana bimbang burung tersebut mencengkam bahu tetamu dengan terlalu kuat.










