Bicara saman terhadap NFC 24 Januari - Utusan Malaysia

Bicara saman terhadap NFC 24 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Januari tahun depan bagi menyambung perbicaraan kes saman Kerajaan Malaysia terhadap National Feedlot Corporation (NFC) bagi menuntut pembayaran balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Anand Ponnudurai akan mendengar keterangan empat saksi yang akan dipanggil oleh NFC (defendan) pada perbicaraan yang berlangsung selama lima hari sehingga 28 Januari.

Tarikh itu ditetapkan pada sesi pengurusan kes yang dijalankan di hadapan beliau secara dalam talian.

Peguam Chong Kah Yee yang mewakili NFC memberitahu pihak media, defendan telah memanggil saksi pertama iaitu pakar audit, Andrew Heng memberi keterangan pada 17 Mac lalu manakala empat lagi saksi akan memberi keterangan pada tarikh yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad turut memaklumkan, perbicaraan kes saman itu bermula pada 13 Januari tahun lalu dengan mendengar keterangan tujuh saksi plaintif sebelum kes ditutup pada 17 Mac lalu.

Kerajaan Malaysia memfailkan saman bagi menuntut NFC membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Syarikat itu diuruskan oleh Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail iaitu suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan tiga anak mereka.

Dalam tuntutannya, Kerajaan Malaysia selaku plaintif tunggal menamakan NFC sebagai defendan pertama, Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd., Real Food Corporation Sdn. Bhd., Meatworks 

Corporation Sdn.  Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., Asian Bioscience Corporation Sdn. Bhd. dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn. Bhd.

Kerajaan menandatangani perjanjian dengan NFC pada 6 Disember 2007 dengan memberi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional.

Perjanjian itu selaras dengan dasar kerajaan untuk membangunkan dan meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman disalurkan kepada NFC dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011. 

Daripada RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional.

Baki daripada dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.

Sebanyak RM9.76 juta didakwa disalahgunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence yang didakwa dilakukan oleh defendan keenam, National Meat & Livestock Corp.

Sebanyak RM300,000 pula didakwa digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bernama Shamsubarin Ismail bagi tujuan yang tidak didedahkan dan sebanyak RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.

Keluarga Mohamad Salleh juga didakwa menggunakan dana yang dipinjam daripada kerajaan itu untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara dan membeli dua bidang tanah di Putrajaya, bayaran kepada dua firma guaman dan membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN