PUTRAJAYA: Semua pemohon moratorium enam bulan perlu berbincang dengan bank masing-masing dalam mendapatkan gambaran jelas mengenai faedah yang akan dikenakan berdasarkan skim yang diambil.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan meringankan beban penanggung dalam menyusun kehidupan mereka.
Katanya, moratorium adalah penangguhan bayaran balik, setiap bank mempunyai skim yang berbeza dan berbincanglah dengan bank masing-masing.
“Dari segi faedah yang dikenakan, berbincanglah kerana ini antara peminjam dan bank. Jika ditanya kepada saya, saya tidak tahu kerana bank mempunyai skim mereka tersendiri.
“Bagaimanapun, semua bank digesa tidak mengambil kesempatan atas situasi yang dihadapi peminjam kerana moratorium yang diumum kerajaan adalah untuk meringankan beban peminjam yang terkesan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Pemulih hari ini.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.
Kata Muhyiddin, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021.
“Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan,” katanya.










