Batalkan Ordinan Darurat secepat mungkin - Utusan Malaysia

Batalkan Ordinan Darurat secepat mungkin

HOWARD LEE CHUAN HOW 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usul bagi membatalkan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 2021 mesti dikemukakan dan diluluskan dalam kadar segera di Parlimen. 

Ada kemungkinan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menggunakan kelebihan di sebalik Ordinan Darurat kerana ia masih berkuat kuasa selama enam bulan selepas tamat darurat pada 1 Ogos. 

Bercakap kepada Utusan ONLINE , Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How berkata, ini berdasarkan peruntukan yang termaktub di dalam Perkara 150 (7) Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan hanya setelah habis tempoh enam bulan selepas darurat terhenti berkuatkuasa, ordinan atau undang-undang yang dibuat itu tidak lagi sah dan akan terhenti secara automatik.

Menurutnya, kerajaan juga berkemungkinan menggunakan tafsiran bahawa mereka tidak perlu membentangkan Belanjawan 2022 di Parlimen dan mungkin membelanjakan wang tanpa kelulusan atas dasar kuasa yang ada. 

“Kerajaan juga mungkin boleh memutuskan sama ada untuk membenarkan Parlimen bersidang atau tidak. Tetapi, ia juga mungkin tidak berlaku jika Dewan Negara dan Dewan Rakyat bersetuju untuk meluluskan usul bagi membatalkan darurat dan ordinan.  

“Tetapi, saya tidak yakin sama ada Perdana Menteri dan Kabinet mahu mengemukakan usul ke dalam Dewan untuk membatalkan darurat berdasarkan peruntukan di dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan. 

“Malah, saya juga tidak pasti sama ada Speaker Dewan Negara dan Speaker Dewan Rakyat serta anggota bukan eksekutif Dewan sedia mengemukakan usul membatalkan darurat dan membenarkan Parlimen terus ‘tempang’ dalam masa enam bulan lagi.

“Saya juga sudah berbincang dengan ramai peguam berkenaan hal ini dan mereka bersetuju dengan kenyataan yang sama. Cuma, saya hairan tiada siapa pun yang membangkitkannya setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun baru-baru ini mencadangkan supaya sidang Parlimen hibrid diadakan akhir Ogos atau minggu pertama September. 

Terkini, Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kaedah persidangan Parlimen belum diputuskan kerajaan sama ada akan berlangsung secara fizikal atau hibrid. 

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu menggesa supaya usul pembatalan ordinan darurat dikemukakan, dibahas dan diluluskan kepada Dewan Negara dan Dewan Rakyat bagi menyahkan serta-merta kuasa kerajaan tanpa semak imbang. 

Katanya lagi, mungkin juga perkara tersebut tidak berlaku dan hanya satu bentuk paranoid sorotan kes kerajaan yang didakwa berulang kali melakukan manipulasi terhadap undang-undang.

“Ia bermula dari penipuan sokongan majoriti sehingga nasihat yang mengelirukan kepada Agong untuk isytihar darurat, kononnya sebab wabak Covid-19, padahal sebenarnya ada niat lain. 

“Saya berharap saya terbukti salah jika apa yang saya nyatakan tidak benar. Tapi, jika loceng penggera ini tidak dibunyikan, langkah pencegahan harus diambil,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN