GEORGETOWN: “Tak rasa sakit, macam kena gigit semut sahaja”.
Itu pengalaman veteran politik, Tan Sri Mohd. Yusof Latiff, 92, ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Spice Arena, Bayan Lepas di sini semalam.
Mohd. Yusof berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang kedua memperoleh suntikan vaksin Covid-19 itu selepas terlepas peluang pertama pada April lalu.
“Sepatutnya saya terima suntikan vaksin Covid-19 pada Ramadan lalu, namun kerana kurang sihat dan beberapa masalah saya terpaksa batalkan janji temu pertama.
“Semalam saya terima suntikan vaksin ini, layanan doktor dan petugas di PPV amat baik dan tiada rasa sakit langsung ketika petugas kesihatan menyuntik vaksin berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusof, warga emas sepertinya yang mengambil beberapa jenis ubat setiap hari seperti ubat kolestrol, darah tinggi dan sebagainya juga tidak mempunyai masalah sekiranya mengambil suntikan vaksin Covid-19.
“Ubat yang kita ambil setiap hari perlu diteruskan pengambilannya walaupun ketika kita mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
“Setakat ini saya tidak mempunyai sebarang kesan sampingan selepas tempoh 24 jam menerima vaksin berkenaan,” katanya.
Tambahnya, golongan warga emas perlu membantu kerajaan yang menyasarkan untuk mencapai imuniti kelompok tahun ini dengan mendaftar segera sebagai penerima vaksin Covid-19.
“Vaksin ini sebagai satu pencegahan kepada Covid-19, anggaplah kita bantu kerajaan dan diri sendiri dengan dapatkan vaksin ini.
“Hanya dengan mencapai imuniti kelompok baru hidup kita dapat kembali normal tanpa dibelenggu lagi dengan Covid-19 yang membawa maut ini,” katanya.










