7 universiti Mesir mungkin digugur daripada senarai Akta Perubatan 1971 - Utusan Malaysia

7 universiti Mesir mungkin digugur daripada senarai Akta Perubatan 1971

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mereka yang ingin melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan di tujuh universiti Mesir wajib memenuhi syarat kelayakan minimum kemasukan yang ditetapkan kerajaan Malaysia bagi mengelakkan masalah pengiktirafan pengamal perubatan di negara ini.

Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MPM), Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diputuskan mesyuarat MPM ke-407 bertarikh 22 Jun lalu selepas menerima pemakluman berhubung pengurangan tempoh pengajian melibatkan tujuh universiti di Mesir.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Kesihatan berkata, pihaknya menerima pemakluman iaitu daripada enam tahun kepada lima tahun pengajian bagi kesemua tujuh buah universiti Mesir yang diiktiraf MPM, seperti yang tersenarai di dalam Jadual Kedua, Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Tujuh universiti itu adalah Universiti Iskandariah, Universiti Ain Shams, Universiti Cairo, Universiti Tanta, Universiti Mansoura, Universiti Zagazig dan Universiti Al-Azhar.

“Beberapa siri perbincangan diadakan MPM bersama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi Mesir sebelum memutuskan seseorang itu wajib memenuhi syarat kelayakan minimum kemasukan iaitu sekurang-kurangnya lepasan matrikulasi atau asasi atau pra-universiti atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau A-Level atau lain-lain peperiksaan yang setara dengannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, mesyuarat juga bersetuju sekiranya syarat kemasukan minimum itu tidak dipenuhi, bakal graduan daripada universiti tersebut mungkin berdepan dengan masalah untuk berdaftar bersama MPM.

“Malah, MPM juga akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan universiti-universiti tersebut dari senarai universiti yang diiktiraf dalam Jadual Kedua, Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sekiranya perkara ini berlanjutan.

“Semua pihak terutamanya badan-badan pemberi biasiswa atau bantuan pendidikan memastikan syarat ini dipatuhi supaya sebarang kesulitan dapat dielakkan bagi pelajar untuk berdaftar dengan MPM selepas tamat pengajian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.