PETALING JAYA: 60 peratus populasi negara ini dijangka menerima dua dos suntikan vaksin seawal akhir Oktober ini.
Dalam perutusan khas sempena pengumuman Pelan Pemulihan Negara hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara bersedia untuk beralih kepada Fasa Keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 500 kes sehari.
“Kita akan dapat beralih kepada Fasa Keempat sekiranya berjaya mencapai nilai ambang berikut iaitu 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.
“Berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, peralihan ini dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir bulan Oktober 2021.
“Selain itu, Fasa Keempat boleh berlaku apabila purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 500 kes dan sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di paras mencukupi,” katanya.
Pelaksanaan PKP Fasa Pertama mula menunjukkan graf jangkitan kes Covid-19 trend melandai dengan mencatatkan 4,949 kes semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei 2021, iaitu kes harian tertinggi yang dicatatkan dalam negara.
Muhyiddin berkata, Fasa Keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara yang mana rakyat seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian.
“Bagi Fasa Keempat, semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes Covid -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini,” jelasnya.
Bagi setiap pelan tersebut, beliau berkata, SOP akan diperincikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diumumkan dalam masa terdekat. – UTUSAN ONLINE









