22 lagi kes VOC Covid-19 dikesan - Utusan Malaysia

22 lagi kes VOC Covid-19 dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan 22 lagi kes varian baharu virus SARS-CoV-2 melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) iaitu 14 kes varian Beta (B.1.351) dan lapan kes varian Delta (B.1.617.2).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penemuan terbabit hasil survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2 yang dijalankan secara berterusan bermula 11 Jun sehingga semalam.

Katanya, sebanyak 14 kes baharu varian Beta (B.1.351) melibatkan masing-masing tiga kes di Selangor, Sabah dan Terengganu, dua kes di Kedah dan masing-masing satu kes di Perak, Johor, dan Kelantan.

“Bagi lapan kes baharu varian Delta (B.1.617.2) melibatkan masing-masing dua kes di Johor, Labuan, dan Negeri Sembilan, serta masing-masing satu kes di Perlis dan Pulau Pinang.

“Sehingga semalam, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian berkepentingan (VOI) adalah sebanyak 183 kes di mana 167 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, VOC yang dilaporkan adalah 137 kes adalah varian Beta (B.1.351) melibatkan kes jangkitan tempatan serta 21 kes varian Delta (B.1.617.2) (12 kes jangkitan tempatan dan sembilan kes import) dan sembilan kes adalah varian Alpha (B.1.1.7) (empat kes jangkitan tempatan dan lima kes import).

“Bagi VOI pula, 12 kes varian Theta (P.3) melibatkan kes jangkitan tempatan, tiga kes adalah varian Eta (B.1.525 di mana kesemua kes import dan satu kes varian Kappa (B. 1.617.1) yang juga kes import,” katanya.

Utusan Online minggu lalu melaporkan 23 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 melibatkan VOC iaitu 19 kes varian Beta (B.1.351) dan empat kes varian Delta (B.1.617.2) dikesan susulan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2 dijalankan bermula 3 Jun sehingga 8 Jun lalu.

Noor Hisham berkata, kes varian Beta (B.1.351) melibatkan lapan kes di Selangor, tiga kes di Putrajaya, masing-masing dua kes di Kuala Lumpur, Melaka, dan Kedah, serta masing-masing satu kes di Perak dan Perlis.

“Empat lagi kes baharu bagi varian Delta (B.1.617.2) adalah masing-masing dua di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN