TENNESSEE: Sebuah pesawat ringan yang membawa 20 penumpang dan kru bagi aktiviti terjun udara terhempas di negeri Tennessee, Amerika Syarikat (AS) semalam, namun tiada kematian dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Menurut jurucakap bandar Tullahoma, Lyle Russell, pesawat jenis DeHavilland DH-6 Twin Otter itu terhempas di Lapangan Terbang Wilayah Tullahoma, kira-kira pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan, tidak lama selepas berlepas.
“Tiada kematian berlaku. Seramai 20 individu berada dalam pesawat ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan yang dikirimkan kepada agensi berita AFP.
Beliau berkata, tiga mangsa dihantar ke hospital menggunakan helikopter, manakala seorang lagi dibawa dengan pengangkutan darat akibat kecederaan yang lebih serius.
“Beberapa mangsa lain mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan segera oleh pasukan penyelamat di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau turut mengesahkan tiada kemudahan di lapangan terbang ataupun kawasan sekitar yang rosak, dan tiada kecederaan dilaporkan melibatkan orang awam.
Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas, manakala Peronda Lebuhraya Tennessee mengesahkan anggotanya turut membantu pihak polis dalam mengawal lokasi kejadian.
Beberapa gambar yang dimuat naik di media sosial oleh pihak berkuasa menunjukkan pesawat berwarna putih dengan jalur biru itu terbenam di kawasan berumput dengan bahagian ekor dan satu sayapnya kelihatan terputus, sementara kenderaan polis dilihat berada di kawasan berkenaan dengan lampu kecemasan dihidupkan.- AFP










