KLANG : Seramai 38 individu termasuk 12 remaja ditahan kerana berlumba haram dan berkumpul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh di Lebuhraya Selat Klang Utara (Shapadu), di sini semalam.
Kesemua individu terbabit termasuk dua wanita berusia 16 tahun hingga 25 tahun ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan selama lima jam bermula pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman bersama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara itu turut mengeluarkan 38 kompaun.
Ia dikeluarkan di bawah Sesyen 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPPB) 1988 kerana kesalahan berkumpul di tempat awam untuk berlumba haram dan tiada penjarakan sosial.
“Hasil siasatan, seramai 12 remaja ditahan kerana berlumba dan diambil tindakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) APJ 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Nurulhuda memberitahu, sebanyak 35 motosikal dibawa ke IPD Klang Utara untuk pemeriksaan dan 92 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Ujarya, 24 daripada motosikal terbabit disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987. – UTUSAN ONLINE










