11 waris individu meninggal dunia akibat Covid-19 terima faedah Perkeso - Utusan Malaysia

11 waris individu meninggal dunia akibat Covid-19 terima faedah Perkeso

FUAD Alias (kanan) menyerahkan bayaran faedah Perkeso kepada Muhammad Haidir Rodzi (tiga dari kiri) yang kematian ibu dan bapa akibat Covid-19 di Bandar Sunggala, Port Dickson. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Waris keluarga kepada 11 individu yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19 di negeri ini menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga semalam.

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, faedah berkenaan ialah sebanyak RM2,000 bagi bayaran faedah pengurusan jenazah yang diberikan kepada setiap keluarga.

Jelasnya, setiap keluarga juga menerima bayaran pencen penakat (pencen bulanan) yang membabitkan nilai keseluruhan bayaran bagi bulan pertama kes adalah sebanyak RM13,288.

“Perkeso Negeri Sembilan juga menyelesaikan sebanyak 163 kes tuntutan Faedah Hilang Upaya Sementara membabitkan bayaran bilangan hari cuti sakit atau bilangan hari yang dikuarantin atau ditahan di wad yang disahkan Kementerian Kesihatan melalui Skim Bencana Kerja.

“Kami juga mengalu-alukan mana-mana waris keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19 lebih-lebih lagi yang pernah mencarum dengan Perkeso untuk memaklumkan kematian berkenaan bagi semakan kelayakan mendapat bayaran faedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Penyampaian Bayaran Perkeso waris keluarga Allahyarham Rodzi Tahar yang meninggal dunia akibat Covid-19 baru-baru ini di Bandar Sunggala dekat sini hari ini.

Sementara itu, Fuad berkata, waris keluarga Allahyarham Rodzi menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 dan Faedah Pencen Penakat sebanyak RM565.

“Bayaran pencen penakat ini dibuat sehingga anak terakhir mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian Sarjana Muda.

“Bayaran pencen ini dibayar melalui abang sulung bernama Muhammad Haidir Rodzi sebagai penjaga yang sah. Allahyarham Rodzi juga merupakan penerima pencen ilat dari Perkeso sejak 16 April 2019 kerana sakit buah pinggang,” katanya.

Utusan Malaysia pada 8 Jun lalu melaporkan lima beradik di Bandar Sunggala dekat sini ‘kehilangan’ ibu bapa masing-masing apabila kedua-dua orang tua mereka itu meninggal dunia akibat Covid-19.

Abang sulung adik beradik itu, Muhammad Haidir Rodzi, 23, berkata, bapanya, Rodzi Tahar, 55, meninggal dunia pada 31 Mei lalu ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tampin manakala ibunya pula, Nazita Idris, 45, meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban pada 6 Jun.

Nenek mereka, Faridah Md. Shahar, 75, yang juga tinggal bersama turut dijangkiti Covid-19 dan menerima rawatan di Hospital Tampin pada ketika itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN