10 ditahan leka main 'pai kaw' di Lipis - Utusan Malaysia

10 ditahan leka main ‘pai kaw’ di Lipis

SEBAHAGIAN lelaki tempatan dan tiga wanita Vietnam yang ditahan oleh polis sempena Ops Dadu di Kampung Baru Penjom di Lipis, Pahang. - IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Polis menahan tiga wanita warga Vietnam berusia antara 31 hingga 46 tahun dan tujuh lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 73 tahun dalam kes bermain judi buah ‘pai kaw’ sempena Ops Dadu di Tokong Shek Thien Kong, Kampung Baru Penjom, dekat sini semalam.

Ketika serbuan dilakukan oleh polis Pasukan Siasatan Jenayah di sini pada pukul 6.20 petang di kawasan semak belakang bangunan tokong mendapati, beberapa lelaki dan wanita sedang asyik bermain judi dengan menggunakan buah ‘pai kaw’.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, ketika pegawai yang mengetuai Ops Dadu memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis, kumpulan lelaki dan wanita berkenaan cuba melarikan diri masuk ke kawasan semak dan hutan berdekatan tokong tersebut.

“Kesemua suspek diberkas dan mereka diminta menunjukkan kad pengenalan diri masing-masing untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan di atas meja yang digunakan mereka menemukan 32 buah ‘pai kaw’ bersama bekas (kotak), tiga buah dadu dan wang tunai berjumlah RM2,539 yang digunakan sebagai pertaruhan berjudi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, polis menahan suspek judi berkenaan serta semua peralatan berjudi termasuk buah ‘pai kaw’ dan beberapa bukti kes tersebut dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pegawai mengetuai Ops Dadu juga menjelaskan sebab tangkapan dan rampasan kepada kepada tiga wanita Vietnam dan tujuh lelaki Cina dalam bahasa mudah difahami serta menerangkan hak-haknya yang diperuntukan di bawah Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.

Dalam pada itu katanya, kesemua suspek judi masing-masing turut dikompaun RM1,500 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal serta berkumpul mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya